SHARE AND LIKE THIS POST

MALAYSIA tidak akan membenarkan rakyat asing membeli unit kediaman yang dibina di projek Forest City di Johor, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemajuan projek berkenaan menjadi tanda tanya selepas Pakatan Harapan yang diterajui Mahathir memenangi Pilihanraya Umum ke-14 pada Mei lalu, sementara pemaju Country Garden Holdings Co dijangka menyemak semula rancangannya untuk membina bandar raya yang akan menjadi penempatan bagi 700,000 penduduk.

“Satu perkara yang pasti, bandar yang akan dibina tidak boleh dijual kepada orang asing. Kami tidak akan memberikan visa untuk orang datang dan tinggal di sini.

“Bantahan kami adalah ia dibina untuk orang asing, bukan untuk rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat tempatan tidak mampu membeli rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, jurucakap di Country Garden berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang komen mengenai keputusan kerajaan ketika ini.

Bantahan terhadap projek itu membantu kempen pilihan raya Dr Mahathir, di mana beliau menyatakan, ia sebagai bukti kerajaan terdahulu menjual Malaysia kepada China.

Rakyat Malaysia yang tinggal di Johor membuat aduan bahawa sebahagian besar rakyat Cina merampas hartanah di Forest City, selain kebimbangan terhadap kerosakan alam sekitar, kemerosotan dalam pasaran hartanah dan kesan penambakan tanah terhadap industri perikanan.

Country Garden telah membangunkan sebahagian kecil daripada penambakan yang dirancang sebanyak 20 kilometer persegi, di mana warga China menyumbang kira-kira 70 peratus pembeli apartmen tahun lalu.

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS