SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR – Portal hartanah, PropertyGuru Malaysia memperkenalkan sebuah inovasi teknologi hartanah, Mortgage Pre-Qualifier dengan sasaran membantu seramai 100,000 rakyat Malaysia memiliki rumah mereka sendiri menjelang 2020.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia,
Sheldon Fernandez berkata, program itu menawarkan orang ramai dengan
pemeriksaan kelayakan pinjaman, memberikan ramalan tertinggi terhadap
jumlah pinjaman rumah yang bank sedia luluskan.

“Apa yang membezakan Mortgage Pre-Qualifier adalah
platform berkenaan memberikan ramalan yang sangat tepat, hanya mengambil
masa lima minit dan disediakan secara percuma menerusi propertyguru.com.my/mortgageprequalifier/.

“Ini bermakna, pembeli rumah boleh segera mengenal
pasti jika mereka layak atau tidak untuk menerima pinjaman dari bank dan
dapat mengambil langkah yang betul untuk meningkatkan peluang memiliki
rumah,” katanya pada acara pelancaran program itu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran
PropertyGuru, Bjorn Sprengers dan Ketua Pemasaran Pengguna PropertyGuru
Malaysia, Ryan Thoo.

Mortgage Pre-Qualifier merupakan inovasi pertama
seumpamanya di Asia Tenggara yang dimajukan PropertyGuru dengan
kerjasama platform teknologi kewangan hartanah, MHub dan agensi
pelaporan kredit, CTOS.

Menurut Fernandez, sebanyak 92 peratus rakyat
Malaysia menyatakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri, namun lebih
satu daripada dua atau sekitar 60 peratus daripada mereka berdepan
masalah penolakan permohonan pinjaman.

Katanya, walaupun hanya menumpu kepada segmen rumah
mampu milik antara RM300,000 hingga RM500,000 sebuah, 71 peratus
daripada generasi milenial berusia 22 hingga 37 tahun masih tidak mampu
untuk membeli rumah.

“Secara keseluruhannya, sebahagian besar golongan isi
rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) masih tidak mampu
memiliki rumah, sementara harga hartanah di Malaysia kekal di paras 4.4
kali ganda pendapatan median.

“Disebabkan kesulitan ini, kami memperkenalkan Mortgage Pre-Qualifier yang bukan sahaja memberi maklumat tentang jumlah pinjaman, tetapi juga pandangan praktikal mengenai apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kelayakan pinjaman,” jelasnya.

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS