PETALING JAYA: Pasaran hartanah dijangka kembali rancak separuh kedua tahun ini apabila harga rumah diunjur turun antara tiga hingga empat peratus susulan keputusan kerajaan mensifarkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), demikian menurut pemerhati industri.
Ketua Pegawai Eksekutif portal hartanah Hartabumi.com, Radzi Tajuddin, berkata dengan langkah pemansuhan GST itu, ada pemaju sudah pun mula menurunkan harga rumah.
Katanya, sebelum ini GST menyumbang dua hingga empat peratus kepada kos pembinaan dan langkah mensifarkan GST secara tidak langsung dapat mengurangkan kos keseluruhan.
Namun katanya, penurunan harga rumah ini berkemungkinan tidak kekal lama apabila kerajaan bercadang memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September ini.
“Tempoh dua tiga bulan ini adalah tempoh cuti cukai. Bila jadi macam ini, pembeli perlu ambil kesempatan dan beli rumah impian anda. Apatah lagi dalam keadaan keyakinan orang ramai dan pasaran yang sedang meningkat,” katanya ketika ditemui BH di pejabatnya, baru-baru ini.
Mengulas mengenai prospek tahun depan, Radzi berkata, industri hartanah bergantung kepada kadar SST yang akan diumumkan kelak.
“Saya jangka harga rumah akan naik sedikit daripada paras ketika ini tetapi tidak akan sama dengan kadar ketika GSt dilaksanakan.
“Ini kerana GST adalah cukai berlapis namun SST adalah cukai menyeluruh yang pada akhirnya akan memberi keuntungan kepada pengguna,” katanya.
Menyentuh mengenai pembatalan projek mega MRT3 dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), beliau berkata, kebanyakan pemaju yang mempunyai kaitan projek itu akan menyemak kembali model projek mereka.
“Ini kerana projek perumahan itu dibina berdasarkan jangkaan pemaju bahawa kediaman di stesen terbabit akan dihuni oleh golongan profesional dan bujang namun dengan pembatalan projek bernilai berbilion itu mereka perlu membangunkan model rumah berkonsepkan kekeluargaan supaya tidak berlakunya isu unit tidak terjual,” katanya.
Mengenai isu unit kediaman yang tidak terjual, Radzi berkata, produk yang salah dan harga yang tidak masuk akal menyebabkan krisis ini terus berlarutan.
Justeru beliau menyeru pemaju supaya mengkaji secara menyeluruh permintaan di kawasan setempat sebelum membangunkan sesebuah projek.
“Sebagai contoh, ada pemaju buat kediaman bertingkat di Rawang, Selangor dengan harga RM400,000. Siapa mahu beli,” katanya.


![Kegawatan Ekonomi, ‘Housing Bubble’ dan Pasca Covid-19 [Bahagian 2]](http://tipshartanah.net/wp-content/uploads/2020/04/PART-2-2-e1587368768594-238x178.jpg)