PETALING JAYA: Organisasi media wajar memberi pertimbangan untuk hanya mengiklankan pemaju hartanah yang memperoleh Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL).
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata pihaknya akan mengedarkan surat pekeliling panduan siaran iklan kepada syarikat media, minggu depan.
Katanya, antara lain ia menyatakan syarikat atau pemaju perumahan perlu memiliki APDL sebelum dibenar mengiklankan projek atau program perumahan menerusi saluran media.
Beliau berkata, pekeliling itu dikeluarkan sebagai usaha kerajaan membendung penipuan penjualan hartanah berikutan ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab menggunakan platform media dan individu kenamaan bagi meyakinkan orang ramai.
Syarikat perumahan perlu mendapat kelulusan KPKT dan pemaju akan diberi satu APDL menerusi Peraturan 5 Akta 118 sebelum dibenar membuat iklan dalam mana-mana saluran media.
APDL diwajibkan kepada pemaju yang membina lebih empat rumah dan mesti mendapat kelulusan KPKT.
Noh berkata, orang ramai yang menjadi mangsa kes penipuan penjualan hartanah dialu-alukan memohon bantuan kementerian menerusi Skim Pinjaman Perumahan.
Skim berkenaan menyediakan peruntukan pinjaman perumahan sebanyak RM60,000 yang perlu dibayar secara ansuran bulanan.
Antara syarat memohon skim itu termasuk memiliki tanah sendiri dan pendapatan isi rumah kurang RM3,000.
Berucap pada majlis pelancaran, Noh berkata, pameran MyRumah adalah inisiatif membanggakan sektor swasta untuk membantu kerajaan melaksanakan agenda perumahan negara.