MARAN – Penduduk terlibat dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dinasihatkan supaya tidak menjual tanah semata mata untuk mendapat untung segera.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, tanah terlibat dalam projek ECRL itu bernilai tinggi kerana boleh dibangunkan dengan pelbagai projek jangka panjang.
“Pada masa kini memang kawasan tanah tersebut diselaputi hutan belantara dan tiada harga atau bernilai, tetapi apabila projek ECRL dilaksanakan sepenuhnya, banyak peluang perniagaan boleh dijalankan.
“Kawasan itu boleh dimajukan dengan projek hartanah, ladang, kedai perniagaan dan sebagainya yang sudah tentunya akan memberikan keuntungan berganda,” katanya.
Katanya, bagi penduduk Maran walaupun ECRL tidak dibina landasan melintasi Maran tetapi ia memberi impak secara tidak langsung kepada rakyat terutamanya membabitkan aspek ekonomi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, ECRL sebuah projek mega yang akan memberikan kesan cukup besar kepada pertumbuhan ekonomi di sepanjang jajaran laluannya dari Temerloh Klang ke Pantai Timur termasuk Negeri Pahang.
“Pertembungan laluan di stesen kereta api sedia ada di Bandar Mentakab dengan ECRL sudah pasti akan memberi kesan apabila diwujudkan pelabuhan darat di kawasan itu.
“Kewujudan pelabuhan darat di Bandar Mentakab sudah pasti akan menarik pelaburan syarikat serta korporat dari luar untuk melabur yang pasti meningkatkan ekonomi penduduk serta meningkatkan lagi peluang pekerjaan,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Maran itu berkata, Maran adalah sebuah pekan kecil yang berhampiran Kuantan sudah tentu akan memberikan kesan baik daripada pembinaan ECRL.
“Selain menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk, ia secara langsung menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang mendapat latihan kemahiran, sekali gus mengatasi masalah pengangguran,” katanya.


![Kegawatan Ekonomi, ‘Housing Bubble’ dan Pasca Covid-19 [Bahagian 2]](http://tipshartanah.net/wp-content/uploads/2020/04/PART-2-2-e1587368768594-238x178.jpg)