SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR –  Kerajaan menjangkakan lebih 15,000 penilai harta, pentaksir dan ejen hartanah dapat didaftarkan dalam tempoh setahun selepas Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017 dikuatkuasakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, jumlah itu akan melibatkan penilai berdaftar, siswazah pengurusan harta, juruukur bangunan, pengurus harta, dan bakal graduan yang terlibat dalam profesion itu.

Dalam tempoh 12 bulan ‘window period’ kami beri peluang kepada mereka yang ketika ini menjalankan urusan mengurus harta tetapi masih belum mendaftar untuk berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah dengan syarat tertentu.

 

“Syarat-syarat itu seperti kos integriti, kompeten dalam kewangan dan pengurusan, penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, terbuka kepada rakyat Malaysia yang mempunyai pekerjaan sesuai mengikut tahap pengurus dan ke atas, mempunyai sijil akademik berkaitan dan pengalaman kerja yang ditetapkan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata bilangan penilai, pentaksir dan ejen hartanah berdaftar di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas adalah seramai 3,784 orang.

Selain itu, Othman berkata, dengan pindaan itu, semua profesion berkaitan industri perkhidmatan hartanah di Malaysia dapat dikawal selia dengan lebih berkesan dan efektif agar perkhidmatan berkualiti dan bermutu tinggi dapat diberikan bagi menangani cabaran yang dihadapi industri sekarang mahupun masa depan.

Ia juga dijangka dapat memperkemas kerangka kawal selia supaya lebih efektif bagi memenuhi keperluan semasa rakyat.

“Akta ini saling melengkapi dengan Akta Pengurusan Strata 2015 atau Akta 757 bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan komuniti strata dan tidak mengikat mana-mana pihak yang ingin menjalankan amalan pengurusan harta di bawah Akta 757.

 

“Ia juga memberi manfaat antaranya supaya kes-kes salah laku oleh pengurus harta yang menjalankan amalan harta tidak jujur dapat dibendung dengan mewujudkan sistem penguatkuasaan teratur dapat dilaksanakan dengan berkesan ke atas mereka yang melakukan kesalahan,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS