SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah (HBA) mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Rumah Mampu Milik yang menjadi pusat sehenti bagi memantau keperluan perumahan mampu milik dalam kalangan golongan berpendapatan menengah di negara ini.

SETIAUSAHA Agung Persatuan Pembeli Rumah (HBA), Chang Kim Loong

Setiausaha Agung, Chang Kim Loong, berkata penubuhan pasukan petugas khas seumpama itu perlu berikutan semakin ramai kumpulan berpendapatan menengah berhadapan kesukaran membeli rumah, termasuk di dalam kategori rumah mampu milik akibat kenaikan kos sara hidup.

Disebabkan masalah sedemikian, katanya, Skim Sewa Beli (RTO) kini sewajarnya menjadi sebahagian daripada program perumahan sosial dan skim berkenaan perlu diperluaskan kepada kategori rumah mampu milik.

“Berikutan kenaikan kos sara hidup, kumpulan pembeli rumah berpendapatan menengah kini semakin sukar untuk menyediakan wang pendahuluan 10 peratus dan membayar pinjaman bulanan rumah berdasarkan pendapatan semasa.

 

“Kenaikan harga rumah semakin menyukarkan lagi keadaan dan tanpa Skim RTO, mereka terpaksa menyewa. Terdapat ketidakpadanan jelas antara harga rumah berbanding pendapatan isi rumah.

 

“Justeru, apa diperlukan adalah pembangunan rumah mampu miliki yang holistik dan mapan, termasuk Skim RTO yang memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan.

 

“Berdasarkan senario itulah, HBA mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan Pasukan Petugas Khas Rumah Mampu Milik,” katanya semasa menjadi panel pada Dialog Pembangunan Mampan Perumahan Mampu Milik anjuran Cagamas Holdings Bhd di sini, hari ini.

Dialog sehari itu disasarkan untuk mewujudkan platform pertukaran pandangan dan memberikan peluang kepada pakar industri membincangkan pelbagai isu berkaitan perumahan mampu milik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Mengulas lanjut mengenai cadangan HBA itu, Kim Loong berkata pasukan petugas khas itu perlu dianggotai wakil Kerajaan Persekutuan seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Kerja Raya; Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ia juga, katanya, perlu dianggotai wakil agensi ekonomi kerajaan memandangkan tanah adalah di bawah kawal selia negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam sektor hartanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), institusi pembiaya serta peserta utama sektor hartanah seperti arkitek dan perancang bandar.

“Pasukan petugas khas ini perlu menyusun dan bertindak sebagai pusat sehenti yang mengumpul serta membina pangkalan data unit rumah mampu milik, sama ada di peringkat dirancang, sedang dibina atau pun yang sudah disiapkan.

 

“Ia juga perlu mengumpulkan maklumat mengenai unit rumah mampu milik yang sudah siap, tetapi gagal untuk dijual,” katanya.

Beliau menambah, pasukan petugas khas terbabit juga perlu dianggotai barisan individu berkaliber yang boleh memikirkan penyelesaian bagi melaksanakan Skim RTO untuk membantu golongan berpendapatan menengah mendapatkan rumah impian masing-masing.

INFO Definisi rumah mampu milik HBA
*Berharga antara RM150,000-RM300,000 (RM350,000 di kawasan perdana)
*Berkeluasan sekurang-kurangnya 800 kaki persegi (tidak termasuk balkoni)
*Mempunyai tiga bilik tidur
Comment

BERI MAKLUM BALAS