SHARE AND LIKE THIS POST


KUALA TERENGGANU – Memiliki rumah sendiri atau tempat tinggal sendiri adalah salah satu keperluan asas dan juga idaman semua individu terutama yang sudah berkeluarga.

Namun, harga rumah yang melambung tinggi pada masa kini menjadi penghalang kepada masyarakat, terutamanya golongan muda dan kurang berkemampuan untuk memiliki tempat tinggal milik sendiri.

Walaupun kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan dengan memperkenalkan pelbagai program rumah mampu milik, namun harga yang ditawarkan tetap berada di luar kemampuan kebanyakan rakyat.

 Sekiranya ingin membina rumah di atas tanah sendiri, harga hartanah untuk membina rumah juga dikatakan agak mahal di Terengganu, sekali gus membataskan hasrat mereka untuk memiliki tanah bagi membina rumah sendiri.
Bagaimanapun, ia bukan perkara baharu malah keadaan itu bukan hanya berlaku di negeri ini tetapi juga di negeri-negeri lain dan menjadi bualan bagi pembeli kali pertama yang berhasrat membeli rumah baharu daripada pemaju atau membina rumah sendiri.

Perkara itu diakui Pengarah Syarikat  Ombak Murni Holding, Muhammad Azlan Al Amin, berdasarkan pengalamannya berkecimpung dalam bidang hartanah di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan pembeli kali pertama sudah pasti akan mencuba untuk memiliki tanah sebagai tapak rumah di lokasi pilihan utama iaitu di sekitar Kuala Terengganu atau daerah berdekatan.

“Jika tidak di Kuala Terengganu, akan beralih ke kawasan berdekatan seperti Kuala Nerus, kemudiannya di Gong Badak sebagai pilihan utama.  Namun, jarang dapat direalisasikan kerana harga tanah tinggi di kawasan itu hingga ada yang mencecah ratusan ribu ringgit.

 

“Pada harga itu, jika didirikan rumah harganya boleh mencecah sekitar RM290,000-RM350,000. Jika harga di bawah RM300,000, mungkin masih di dalam kemampuan lagi. Jadi kerana kurang kemampuan menyebabkan mereka beralih pula ke kawasan pinggir bandar.

 

“Contohnya, seperti Kelulut di Marang dan Kuala Berang di Hulu Terengganu.  Ia lokasi  yang tidak jauh dengan bandar Kuala Terengganu,” katanya.

Selain itu, katanya, kawasan hartanah lain yang turut mendapat perhatian adalah di Kemaman, Dungun dan Besut dan pilihan terakhir pula ialah di Setiu kerana di Setiu adalah satu kawasan agak kurang pembangunan, maka kurang mendapat sambutan.

Sementara itu, perkara itu turut diakui seorang lagi pemaju hartanah, Zubir Jusoh, 40, yang berkata, lokasi pilihan pembeli sudah pastinya kawasan yang sedang membangun dan berpotensi dibangunkan.

Lebih mendapat perhatian, katanya, apabila hartanah itu berdekatan dengan jaringan jalan raya utama atau lebuhraya seperti di Bukit Kor di Marang selain kawasan itu perlu mempunyai fasiliti lain.

“Disebabkan tanah dan rumah di Kuala Terengganu mahal, ada yang memilih di pinggir bandar termasuk di Marang, iaitu kawasan perindustrian Bukit Kor.  Tidak hairanlah harga tanah di kawasan tersebut kini meningkat 70 hingga 100 peratus daripada harga sebelum.

 

“Ini kerana lokasi ini, berdekatan bandar Kuala Terengganu,” kata pemilik Ru Bina Enterprise itu.

Berkongsi pengalaman, Zubir berkata, ada juga ‘broker’ yang menaikkan harga tanah sesuka hati selepas mendapat permintaan tinggi menyebabkan harga tanah tersebut meningkat mendadak melebihi harga pasaran semasa.

Dalam pada itu, seorang ejen hartanah yang ingin dikenali sebagai Rozman berkata, kini tumpuan orang ramai di Terengganu adalah ke Kuala Nerus iaitu di sekitar Gong Badak kerana di situ merupakan kawasan pesat membangun dan juga banyak institut pengajian tinggi awam walaupun tanah dan rumah di kawasan itu mahal.

“Selain harga tanah yang mahal di Terengganu, kos bahan binaan juga tinggi berbanding di tempat lain disebabkan kos pengangkutan selain GST,” katanya yang sebelum berpengalaman sebagai ejen hartanah di Kuala Lumpur.

Menurutnya, jika melalui ejen hartanah berdaftar, kos komisen adalah paling rendah dua peratus dan paling tinggi tiga peratus yang ditetapkan oleh kerajaan namun mengakui ada yang tidak berdaftar dan mempunyai lesen tetapi aktif dalam urus niaga jual beli hartanah malah harga yang ditetapkan juga jauh lebih tinggi.

Itu juga merupakan antara faktor menyebabkan harga hartanah dan rumah menjadi lebih tinggi dari harga sepatutnya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS