SHARE AND LIKE THIS POST

BERIKUT adalah tiga trend pelaburan hartanah di Malaysia bagi 2017.

Trend 1: Rumah untuk didiami sementara

Perkhidmatan Airbnb dan kemudahan untuk pelajar semakin mendapat permintaan berikutan penyusutan ringgit dan kekurangan jumlah asrama yang bersesuaian. Jika dilihat kepada Airbnb, saiz yang ideal adalah sekurang-kurangnya 500 kaki persegi dengan pelbagai kemudahan seperti memasak, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro dan sebagainya.

Untuk membolehkan konsep begini membuahkan hasil, hartanah anda mestilah terletak berhampiran pusat tarikan pelancong seperti Bukit Bintang, Georgetown dan JB Sentral. Seorang rakan saya menjana RM10,000 sebulan hanya dengan menyewakan unit kediaman loft, Seri Bukit Ceylon, yang terletak hanya lapan minit berjalan kaki dari stesen MRT Bukit Bintang.

Namun, perlu diingatkan bahawa bukan semua jawatankuasa pengurusan di kondominium membenarkan sewaan dalam tempoh singkat seperti itu.

Trend 2: Ruang kerja yang fleksibel

Golongan Generasi-Y di Malaysia amat tinggi daya keusahawanan. Ia hasil usaha keras kerajaan menubuhkan agensi seperti Cradle Fund dan MAGIC, sehingga membolehkan budaya syarikat permulaan di negara ini rancak dan segar. Antara syarikat permulaan terkenal dari negara ini adalah seperti Kaodim dan iFlix.

Dengan adanya trend begini, ruang kerja fleksibel menjadi semakin popular. Kebiasaannya dirujuk sebagai ‘hot-desking’, trend sedemikian adalah amat sesuai kepada syarikat yang baru saja bermula, sensitif dengan aliran tunai dan memerlukan akses komputer dengan kemudahan mencetak serta mengimbas.

Jika anda mempunyai lebihan ruang pejabat, mengapa tidak menukarnya menjadi aktiviti ‘hot-desking’ dan membantu rakan usahawan lain? Anda boleh menyewakannya secara bulanan atau dikira mengikut kepala. Terdapat banyak bekalan di dalam pasaran, khususnya di Kuala Lumpur sehingga menjadikan ia sebuah pasaran untuk pembeli.

Trend 3: Rumah dijual balik

Jika anda amat memerlukan sebuah rumah, unit rumah dijual balik adalah pilihan kerana ia berharga lebih rendah, iaitu kira-kira 30 peratus lebih murah berbanding rumah baru dilancarkan.

Ia memandangkan bekalan besar yang ada di dalam pasaran sekarang ini menyumbang kepada lambakannya, sehingga menyebabkan harga hartanah tidak meningkat mendadak. Ini menjadikan situasi sekarang ini sebagai pasaran untuk pembeli.

Namun, anda perlu menyediakan sejumlah wang tunai tambahan di dalam tangan kerana perlu membayar deposit, yuran peguam dan kos lain. Menariknya, penjual biasanya bersedia untuk berunding bersama anda. Justeru, jika anda menghadapi kesukaran menyediakan deposit 10 peratus, anda boleh berunding terma pembayaran bersama penjual.

Comment

BERI MAKLUM BALAS