SHARE AND LIKE THIS POST

Ejen hartanah biasanya merupakan individu yang paling arif tentang sesuatu hartanah yang ingin dijual oleh pemilik. Mereka biasanya dilantik oleh pemilik/penjual untuk melakukan tugas-tugas pemasaran dan di dalam masa yang sama menasihatkan penjual harga yang terbaik untuk dijual berdasarkan pasaran semasa.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ejen yang dilantik untuk memastikan harga yang dijual adalah semaksima mungkin (berbanding nilai pasaran) supaya klien mereka (penjual) mendapat nilai sebaiknya dari lantikan seorang ejen disamping berpuashati dengan tindakannya melantik ejen sebagai wakil penjualan.

Namun begitu, adalah menjadi kebiasaan hanya seorang ejen hartanah sahaja yang melakukan ‘sale closing’ (penutupan jualan) di mana pembeli tidak  diwakili oleh mana-mana ejen hartanah lain selain dari yang dilantik oleh penjual.

Dalam keadaan ini, pembeli akan bergantung hampir sepenuhnya dengan ejen yang dilantik oleh penjual dalam mendapatkan maklumat atau sebarang info yang boleh membantu beliau membuat keputusan berkaitan pembelian.

Memandangkan klien sebenar ejen hartanah tersebut adalah penjual… kebarangkalian untuk sedikit sebanyak keputusan yg “biased” (berat sebelah) akan wujud dlm rundingan jualan tersebut di mana seorang ejen yang sama mewakili kedua-dua pihak.  Ini bukannya suatu kesalahan memandangkan ejen hartanah tersebut dibayar fee mereka oleh penjual yang melantik.

Oleh itu, untuk mengatasi kebarangkalian untuk perkara ini berlaku adalah disyorkan supaya pembeli mendapatkan khidmat seorang ejen hartanah tanpa lantikan secara rasmi sebagai klien.

Dalam praktis ejensi hartanah, sekiranya anda melantik secara rasmi seseorang ejen untuk mendapatkan hartanah, maka anda merupakan klien kepada ejen hartanah tersebut dan bertanggungjawab untuk membayar fee 3%, iaitu sebagaimana penjual membayar fee ejen hartanah yang dilantik mereka.  Cuma dalam keadaan ini, kedua-dua ejen hartanah mempunyai klien tersendiri yang mereka wakili.

Namun begitu, untuk individu yang mencari rumah anda mungkin tidak perlu melantik ejen hartanah secara rasmi untuk mendapatkan rumah yang anda inginkan.  Anda mungkin hanya perlu menghubungi mana-mana ejen hartanah (sebaiknya yang dikenali atau mempunyai reputasi yang baik) dan memaklumkan kepada mereka bahawa anda ingin membeli rumah atau hartanah dengan spesifikasi tertentu.

Apakah kelebihannya?

Kelebihan utama dalam melantik ejen untuk mencari rumah yang anda inginkan ialah anda dapat menjimatkan masa untuk mencari hartanah terbaik dan menepati spesifikasi yang anda mahukan seperti lokasi, saiz, harga dan lain-lain.

Ejen hartanah biasanya mempunyai rangkaian perhubungan yang baik dengan ejen-ejen hartanah yang lain dan ini membolehkan mereka mencari hartanah untuk anda dengan lebih berkesan.

Dalam kes ini, di mana tiada lantikan dibuat.. anda tidak perlu risau tentang bayaran fees ejen hartanah tersebut kerana mereka akan melakukan ‘co-agency’ iaitu kerjasama dengan ejen lain dalam urusan fee, dokumentasi dan sebagainya.

Di dalam kes di mana anda menemui sebarang iklan rumah untuk dijual yang diiklankan oleh ejen lain, anda juga boleh memaklumkan kepada ejen anda untuk menguruskan temujanji lawatperiksa tanpa anda perlu melakukannya.

Oleh itu sebagai pembeli sudah pastinya ‘tugas’ anda menjadi lebih mudah dalam pencarian rumah jika anda tahu bagaimana untuk menggunakan khidmat ejen hartanah tanpa perlu membayar fee mereka.

Namun begitu, terdapat juga keadaan di mana ‘listing agent’ (ejen yang dilantik penjual) tidak mahu bekerjasama dengan ejen lain untuk penjualan hartanah tertentu.  Dalam keadaan ini pembeli mungkin tidak mempunyai pilihan selain dari menhubungi terus ejen hartanah tersebut untuk pertanyaan lanjut dan urusan-urusan lain.

Semoga bakal-bakal pembeli dapat memanfaatkan peranan ejen hartanah yang ada disamping dapat mencari rumah yang anda inginkan dalam masa yang lebih singkat.

Comment

BERI MAKLUM BALAS