SHARE AND LIKE THIS POST

Ini adalah Bahagian 2 artikel Jom Beli Rumah (#JomBeliRumah) dari Tips Hartanah.  Sekiranya anda belum membaca Bahagian 1, anda boleh membacanya DI SINI.

Jom Beli Rumah menerangkan langkah-langkah mudah yang boleh diambil sendiri oleh bakal pembeli rumah terutamanya yang merancang untuk membeli rumah pertama dengan lebih teratur dan mudah.  Dengan mengetahui langkah-langkah ini, bakal pembeli akan dapat menjimatkan masa dan juga wang serta mengelakkan kerugian yang mungkin bernilai ribuan ringgit.

Dalam Bahagian 1, saya telah menerangkan tentang perlunya bakal pembeli menyemak rekod kredit kewangan masing-masing iaitu rekod kredit CTOS dan juga CCRIS. Jika anda belum membaca Bahagian 1, sila lakukan terlebih dahulu sebelum anda membaca bahagian 2 ini.  Tindakan adalah paling utama! Tiada makna jika anda membaca sehingga Bahagian 10 (tak tahu lagi sampai bahagian 10 atau tak 🙂 tetapi tiada tindakan diambil oleh anda.

Untuk Bahagian 2, langkah selanjutnya adalah mengetahui Berapa had kelayakan anda untuk meminjam.. iaitu dengan mengetahui berapa komitmen sedia ada anda sekarang.

Seterusnya mengira berapa anggaran baki yang komitmen yang boleh anda mohon berdasarkan kadar Nisbah Pembiayaan Hutang atau lebih dikenali sebagai Debt Service Ratio (DSR).  Berdasarkan baki ini, barulah anda boleh mengira berapakah harga rumah yang anda layak untuk membeli.

Apakah ‘Debt Service Ratio’ (DSR)?

Secara ringkasnya DSR adalah jumlah komitmen berbanding Jumlah Pendapatan:-
DSR = Jumlah Komitmen / Pendapatan

Untuk mengira DSR:-

  1. Ketahui Pendapatan Bersih anda (selepas ditolak KWSP, PERKESO & Cukai)
  2. Ketahui Jumlah ansuran semua pinjaman anda tidak termasuk kad kredit. Contohnya pinjaman kenderaan, rumah, peribadi.
  3. Ketahui berapa jumlah tertunggak baki Kad Kredit anda (lihat penyata kad kredit). Dan kira kadar 5% dari jumlah tersebut.

Sebagai contoh:

  1. Gaji Bersih anda selepas ditolak KWSP, PERKESO dan Cukai: RM4,560
  2. Jumlah ansuran pinjaman lain (cth: kereta, peribadi): RM1,200
  3. Jumlah tunggakan kad kredit RM6,000 @ 5%: RM300

Secara amnya, bank akan memberikan kelulusan pinjaman di antara 60%-70% daripada Gaji Bersih.  Dalam contoh ini amaun tersebut adalah:

DSR 60% : 60% x RM4,560 = RM2,736
DSR 70% : 70% x RM4,560 = RM3,142

Berdasarkan baki dan DSR di atas, ansuran pinjaman rumah yang anda layak adalah:-

Jika DSR 60%: RM2,736 – RM1,200 – RM300 = RM1,236/sebulan
Jika DSR 70%: RM3,142 – RM1,200 – RM300 = RM1,642/sebulan

atau lebih mudah difahami.. ansuran bulanan rumah yang anda layak adalah sekitar RM1,236 – RM1,642 sebulan.

Namun begitu ini adalah sekadar panduan asas, setiap bank mempunyai polisi dan garispanduan tersendiri dalam mengambil kira pengiraan DSR dan meluluskan permohonan.

Sebagai contoh, untuk pendapatan bawah RM3,000.. sesetengah bank mengambil kadar DSR pada 60%, lebih RM6,000, DSR adalah 70% dan ada yang lebih tinggi lagi jika anda professional dan sebagainya.  Pertimbangan lain, ada juga bank yang mengambilkira 100% pendapatan sewaan, ada yang 80% sahaja dan banyak lagi pertimbangan berbeza.

Oleh itu, untuk pengiraan yang lebih mudah dan selamat hanya pertimbangkan anggaran DSR sebanyak 60% jika gaji anda kurang RM3,000 dan 70% jika RM3,000 dan ke atas.

Berapakah Harga Rumah Yang Anda Layak?

Setelah mengetahui Jumlah Bayaran ansuran yang anda layak, bolehlah anda mengira anggaran harga rumah yang layak anda beli.  Dengan mengambil contoh di atas:-

Ansuran bulanan: RM1,300 (andaikan DSR 60%)
Tempoh Pinjaman: 30 tahun
Kadar Faedah: 4.95% (anggaran purata kadar semasa)

Gunakan kalkulator  pinjaman berikut untuk mengetahui berapa bayaran ansuran bulanan pinjaman anda untuk rumah yang ingin anda beli.

 

Sebagai contoh, jika anda ingin membeli rumah pada harga RM300,000 dengan membayar 10% deposit untuk tempoh 30 tahun, bayaran bulanan anda adalah RM1,441.18 (RM1,442).

Ini bermaksud dengan bayaran rumah RM1,442 sebulan, kadar DSR anda adalah 64.5% (melebihi kadar DSR 60% tetapi kurang dari 70%).

Pengiraannya:-
1,442 + 1,200 (pinjaman) + 300 (kad kredit)
____________________________________   X   100%
4,560 (gaji bersih)

= 64.5%

Apakah kebarangkalian pinjaman anda diluluskan? Jika anda tidak mempunyai masalah lain seperti rekod CCRIS yang teruk, rekod CTOS baru ‘dibersihkan’ dan sebagainya, maka peluang untuk diluluskan adalah cerah.

Anda boleh mengubah harga pembelian, deposit, tempoh pinjaman dan kadar faedah mengikut kesesuaian diri anda pada kalkulator tersebut.  Sebagai contoh, jika umur anda 32 tahun, adalah lebih sesuai anda meletakkan tempoh pinjaman 25 tahun.

Sekali lagi dinasihatkan ini adalah sekadar panduan asas untuk anda memahami bagaimana pengiraan DSR berdasarkan gaji bersih untuk permohonan pinjaman.  Kelulusan akhir adalah tertakluk kepada polisi dan garis panduan bank yang anda pohon pinjaman.

Hubungi kami jika anda mempunyai pertanyaan lanjut mengenai pengiraan atau bank mana yang mungkin lebih sesuai dengan permasalahan dan situasi anda.

Sekian.

 

Comment

BERI MAKLUM BALAS