KUALA TERENGGANU 23 Nov. – Kerajaan negeri tetap menegaskan hanya mereka yang belum mempunyai rumah dibenarkan memohon bagi memiliki unit kediaman di bawah projek perumahan awam yang disediakan kerajaan.

“Jika kita dapati pemohon sudah ada rumah, kita tak akan beri pertimbangan kepada mereka. Kita hanya akan beri untuk rumah pertama sahaja,” katanya.Beliau menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan daripada Azan Ismail (PKR-Bandar) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Sebelum itu, merujuk soalan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih), Mohd. Jidin berkata, kerajaan akan membina lebih 13,000 buah rumah awam bagi membolehkan rakyat yang tidak mempunyai kediaman berpeluang memiliki rumah pertama.
Beliau mengulas lanjut, daripada jumlah itu, sebanyak 5,287 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).
Seterusnya pembinaan 2,136 unit rumah di bawah Program Rumah Idaman Rakyat yang diusahakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diikuti 3,098 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Selain itu, jelas Mohd. Jidin, ia juga melibatkan pembinaan 220 unit kediaman Rumah Mampu Milik (RMM) serta 1,229 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).
Beliau berkata, pembinaan rumah PPR melibatkan beberapa daerah antaranya Kemaman, Marang, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu manakala bagi projek SPNB pula membabitkan daerah Kuala Nerus, Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun.