SHARE AND LIKE THIS POST

BNM SRPBank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), hari ini.

Menurut bank pusat, pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar untuk memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan dalam ekonomi yang terus kukuh.

“Risiko ketidakseimbangan kewangan telah dapat dibendung. Bagaimanapun, MPC akan terus memantau risiko ini bagi memastikan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekonomi global terus meningkat pada kadar yang sederhana dengan aktiviti ekonomi di negara-negara maju yang utama bertambah baik, namun pertumbuhan kekal pada kadar sederhana, katanya.

Di Asia, pertumbuhan disokong oleh permintaan dalam negeri dalam keadaan sektor luaran yang berterusan lemah.

Pada masa akan datang, kata BNM, unjuran asas menunjukkan pertumbuhan global akan menjadi bertambah baik sedikit pada 2017.

“Prospek bagi peralihan ke arah penggunaan dasar fiskal secara progresif dalam ekonomi maju boleh membawa kepada persekitaran dasar yang lebih seimbang, yang seterusnya menyokong pertumbuhan pada masa akan datang,” kata bank pusat.

Namun, kata BNM, terdapat ketidak pastian yang berpunca daripada risiko perlindungan perdagangan dan turun naik pasaran kewangan.

Menurut bank pusat, turun naik pasaran kewangan yang semakin ketara dalam minggu-minggu kebelakangan ini telah memberi kesan ke atas pelbagai kelas aset, kadar pertukaran, dan juga kadar hasil dalam banyak ekonomi sedang pesat membangun.

“Keadaan pasaran kewangan global dijangka terdedah kepada perkembangan dasar dan pasaran,” katanya.

Menurut bank pusat, ekonomi dalam negeri terus berkembang pada suku ketiga tahun ini, didorong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta serta sedikit sokongan daripada eksport bersih.

Mengenai masa depan, BNM berkata aktiviti sektor swasta akan terus menjadi peneraju utama pertumbuhan.

Penggunaan swasta dijangka terus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan, di samping sokongan tambahan daripada langkah-langkah yang dilaksanakan Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna.

“Aktiviti pelaburan, meskipun sederhana, akan terus disokong oleh pelaburan infrastruktur yang sedang dijalankan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan,” katanya.

Di sektor luaran, BNM berkata eksport dijangka berkembang namun akan dikekang oleh permintaan yang perlahan daripada rakan perdagangan Malaysia yang utama.

“Secara keseluruhan, ekonomi dalam negeri kekal pada landasan pertumbuhan seperti unjuran yang dibuat pada tahun 2016 dan 2017,” katanya.

Bank pusat menjangka inflasi keseluruhan bagi 2016 berada pada paras lebih rendah dalam julat yang dianggarkan antara 2.0 peratus hingga 2.5 peratus.

Inflasi diunjur kekal stabil secara relatif pada 2017 memandangkan persekitaran harga tenaga dan komoditi global yang rendah dan juga inflasi global yang pada amnya rendah.

Mengenai ringgit, BNM berkata ia akan terus menyediakan mudah tunai bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur.

Ia berkata ringgit dan kebanyakan mata wang pasaran sedang pesat membangun telah mengalami pelarasan yang mendadak dan turun naik yang ketara disebabkan oleh ketidak pastian yang berterusan dalam persekitaran ekonomi dan dasar global, serta perkembangan geopolitik.
Institusi kewangan, katanya, terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh manakala pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah konsisten dengan kadar pertumbuhan aktiviti ekonomi.

Mengenai perkembangan lain, BNM berkata mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat MPC bagi 2017 dan selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat akan diadakan enam kali, dua hari setiap pertemuan dan pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada pukul 3 petang pada hari kedua mesyuarat.

– Bernama

Comment

BERI MAKLUM BALAS