Pemaju disaran bina 
30% rumah mampu milik

144
0
SHARE AND LIKE THIS POST

image-3KUALA LUMPUR 1 Nov. – Kerajaan digesa menguatkuasakan peruntukan yang mewajibkan pemaju hartanah membina sebanyak 30 peratus rumah mampu milik bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co. International Sdn. Bhd., Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu bertegas dengan tidak boleh memberi pengecua­lian kepada mana-mana pemaju dalam perkara tersebut kerana rumah mampu milik berharga kurang RM300,000 ketika ini masih tidak mencukupi.

Katanya, pemaju perumahan swasta mempunyai peruntukan pembangunan hartanah yang mencukupi untuk memastikan keperluan rumah berkenaan dipenuhi.

“Sekiranya kita berjaya menyediakan sebanyak 30 peratus rumah kos rendah tahun lalu, kenapa sekarang kita tidak boleh menyediakan rumah mampu milik yang ditakrifkan berharga di bawah RM300,000?

“Terdapat banyak peluang lain bagi pemaju untuk menjana keuntungan berdasarkan 70 peratus saiz tanah yang akan dibangunkan (dengan rumah kos lebih mahal),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui dalam Seminar Pasaran Hartanah Malaysia: Peluang di sebalik Ketidaktentuan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique dan dihadiri lebih 300 pemain industri.

Harga rumah mampu milik di negara ini berbeza mengikut lokasi, misalnya, di Lembah Klang, rumah kategori berkenaan berharga di bawah RM300,000; Kota Bharu, Kelantan (RM100,000) Johor Bahru, Johor (RM150,000) dan Ipoh, Perak (RM200,000).

Meskipun pasaran kediaman perlahan ketika ini, rumah di bawah harga RM1 juta di Kuala Lumpur dilaporkan terus mendapat permintaan yang tinggi.

Mengenai jenis rumah berharga lebih tinggi, Abdul Rahim berkata, terdapat beberapa pemaju mengurangkan harga untuk menarik pembeli.

“Rumah di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang berharga RM5 juta ke atas menyaksikan penurunan harga kira-kira dua hingga peratus,” tambah beliau.

 

Comment

BERI MAKLUM BALAS