Kes penipuan jual beli rumah yang mencatatkan peningkatan dalam tempoh kebelakangan ini, melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit memerlukan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa membeli hartanah.
Nasihat kami ialah mendapatkan khidmat yang pakar untuk membantu mereka membuat carian hartanah, cukai pintu dan cukai tanah.
Tanpa ilmu pengetahuan pembelian hartanah, usaha untuk membeli rumah melalui lelongan awam juga boleh mendatangkan masalah dan menyebabkan pembida yang berjaya akhirnya terpaksa mengeluarkan wang lebih banyak.
Bagi rumah dilelong, peguam atau ejen hartanah boleh membantu orang ramai membuat semakan dengan pihak pemaju mengenai latar belakang rumah berkenaan termasuk jumlah bayaran penyenggaran yang tertunggak sekiranya ada.
Walau bagaimanapun, orang ramai tidak seharusnya menyerah- kan bulat-bulat sebaliknya perlu juga mengambil tahu berkenaan prosedur jual beli rumah berkenaan.
Semua dokumen yang ditandatangani akan mengikat diri anda. Alasan bahawa anda tidak memahami apa yang ditandatangani, tidak tahu, tidak baca, atau disuruh tandatangan oleh pihak ketiga, sukar diterima daripada sudut undang-undang melainkan wujud unsur paksaan.
Pelantikan peguam dalam transaksi jual beli melibatkan kos dan jumlah bayaran yang dikenakan adalah berbeza berdasarkan nilai transaksi dan duti setem atas pindah milik.
Lebih besar nilai transaksi, lebih besar jumlah wang yang pembeli perlu peruntukkan untuk maksud tersebut.