Transaksi hartanah Johor 
terus meningkat – MB

98
0
SHARE AND LIKE THIS POST

ISKANDAR PUTERI 27 Sept. – Transaksi hartanah di Johor khususnya di Iskandar Malaysia masih terus meningkat dan berada pada paras yang baik berban­ding dengan negeri lain biarpun sektor tersebut masih tidak menentu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan perkembangan tersebut, status pasaran hartanah semasa di negeri lain di mana penganalisis merumuskannya mendatar dan tepu tidak berlaku di negeri ini.

Beliau percaya penawaran produk hartanah yang pelbagai menyebabkan permintaan pasaran daripada pembeli tempatan dan luar negara selain ekonomi berkembang dengan baik.

“Berkaitan status hartanah semasa yang kebanyakan penganalisis merumuskannya sebagai mendatar dan tepu, keadaan di Johor pula agak berbeza di mana transaksi sektor berkenaan masih meningkat.

“Saya percaya selain penawaran produk yang pelbagai, status dan jenama Johor terutama Iskandar Malaysia turut menjadi perhatian pelabur dan pembeli dari dalam dan luar negara,” katanya di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd. Latif Bandi dalam Simposium Perancangan dan Pelaburan Hartanah di Selatan Johor.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perancangan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Sementara itu, Abd. Latif dalam sidang akhbar berkata, sektor hartanah di negeri ini masih berdaya saing dan terus mendapat permintaan baik daripada pembeli mahu pun pelabur, namun diakui terdapat pengurangan, bagaimanapun tidak ketara.

“Kita percaya kedudukan Johor yang strategik selain pertumbuhan ekonomi negeri ini yang berkembang pesat menjadi antara faktor mengapa sektor hartanah di negeri ini masih baik berbanding di negeri lain.

“Disebabkan pertumbuhan ekonomi negeri ini juga me­nyumbang kepada peningkatan orang luar bekerja dan menetap di sini, sekali gus mereka mahu memiliki kediaman di Johor sebab itu permintaan sektor hartanah itu masih berdaya saing,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS