SHARE AND LIKE THIS POST

Pernah beli rumah?.. pernah ‘view’ rumah bersama ejen hartanah atau bersama pemilik?  Tetapi tidak tahu soalan apa yang perlu ditanya?  Jika anda sudah membeli rumah.. mungkin artikel ini tidak begitu lagi relevan melainkan jika anda masih bercadang untuk membeli rumah lain.  Tetapi jika anda belum membeli dan masih di dalam pertimbangan untuk membeli atau bercadang untuk membeli rumah pada masa akan datang… maka mungkin artikel ini dapat membantu persediaan anda dalam membeli rumah.

Berikut saya sediakan beberapa soalan yang boleh anda kemukakan atau bertanya kepada ejen hartanah atau pemilik rumah tersebut ketika anda melakukan lawat periksa sebelum pembelian:-

Soalan 1: Kenapa rumah tersebut ingin dijual?

Penting untuk anda ketahui kerana kadangkala disebabkan faktor negatif seperti kes pembunuhan, tanah runtuh, kadar jenayah tinggi, dsb. Ejen hartanah atau pemilik mungkin tidak memberikan jawapan jujur atau sewajarnya kepada anda kepada soalan ini tetapi lakukan sedikit pencarian atau bertanya mereka yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

Soalan 2: Berapa lama sudah dipasarkan / Diiklankan?

Soalan ini sedikit berkait dengan Soalan 1 dan mungkin memberikan anda sedikit gambaran tentang sesuatu yang negatif jika ianya berada di dalam pasaran untuk tempoh yang lama (contohnya lebih 6 bulan) tetapi masih tidak terjual.. faktor utama jika ia tidak terjual untuk tempoh yang lama adalah harga permintaan (‘asking price’) yang tinggi namun kemungkinan faktor lain seperti harta pusaka, kaveat dan lain-lain juga antara faktor penyebab ramai bakal pembeli kurang berminat.

Soalan 3: Berapakah anggaran harga pasaran?

Tanya soalan ini jika melalui ejen hartanah. Mereka mungkin boleh membantu anda dalam memberikan anggaran harga pasaran hartanah tersebut namun anda perlu juga melakukan semakan harga pasaran sendiri sama ada bertanya terus dengan penilai atau melalui bank anda.

Soalan 4: Adakah harga masih boleh dirunding?

Kebanyakan harga yang diletakkan adalah Harga Permintaan (‘Asking Price’) dan dalam banyak keadaan ia masih boleh dirunding. Namun ada sesetengahnya adalah ‘firm’ yang mana tidak boleh dirunding lagi kerana sudah berada di paras yang rendah dan penjual mungkin tidak terdesak untuk menjual segera.

Soalan 5: Lokasi kemudahan – sekolah, pasar, pasaraya, balai polis, dsbnya

Terus bertanya soalan ini supaya anda akan mendapat gambaran lokasi tempat-tempat ini jika anda membelinya kemudian. Sedikit ‘survey’ di kawasan berkenaan selepas lawat periksa rumah mungkin membantu anda melihat sendiri kemudahan-kemudahan ini.

Soalan 6: Siapakah jiran-jiran berdekatan?

Tanya kepada ejen atau pemilik rumah berkenaan. jika ejen tidak mengetahui, luangkan sedikit masa untuk berjalan sebentar ke rumah berdekatan untuk mengenali ‘bakal jiran’ anda. Hanya anda yang mengetahui jenis-jenis jiran yang anda mungkin berasa selesa. Sebagai contoh, sesetengah pemilik mungkin tidak selesa jika terdapat banyak rumah sewa bersebelahan atas faktor ketenteraman dan privasi.

Soalan 7: Arah Matahari terbit/terbenam?

Tanya soalan ini jika anda lawatperiksa pada waktu malam..kedudukan matahari terbit atau terbenam mungkin antara faktor utama bagi sesetengah orang kerana matahari petang yang memancar pada bilik tidur mungkin memberi kesan panas pada waktu malam.

Soalan 8: Berapa laluan masuk yang ada ?

Alternatif jalan masuk selain yang anda lalui sebelum sampai. Jangan terkejut jika ada sesetengah tempat hanya mempunyai satu laluan keluar masuk yang dikongsi dengan beberapa kawasan perumahan yang mengandungi beratus-ratus rumah. Kesannya.. kesesakan serius di waktu puncak contohnya waktu pagi dan gangguan besar jika jalan tersebut terpaksa ditutup sementara atau dibaiki.

Soalan 9: Pernahkah berlaku kes pecah masuk rumah di kawasan tersebut?

Walaupun mungkin tidak dijawab dengan jujur, tanya soalan ini..sekali lagi dengan bertanya jiran-jiran atau menyemak dengan polis mungkin dapat membantu. Tanya juga soalan seperti adakah kawalan keselamatan wujud pada malam hari atau kawasan berkenaan mempunyai rondaan bersama KRT atau persatuan penduduk.

Soalan 10: Adakah bank memberi pinjaman untuk pembelian rumah tersebut?

Jangan terkejut jika ada sesetengah kawasan di mana bank tidak memberi pinjaman untuk sesuatu kediaman atau kawasan atas sebab-sebab tertentu seperti kawasan yang cenderung tanah runtuh, dsbnya.

Sebagai tambahan soalan di atas… perhatikan sebarang kecacatan yang wujud seperti keretakan, kebocoran, cermin pecah, dan lain-lain dan tanya kepada ejen atau pemilik jika ianya akan diperbaiki sebelum dijual, boleh ditolak kos daripada harga jualan atau ianya termasuk di bawah syarat jualan ‘as-is-where-is basis’.

Comment

2 KOMEN

  1. Assalamualaikum…saya ingin bertanya tentang agremant perumahan…saya ada membayar booking untuk membeli rumah..sebanyak rm 50..kalau ikutkan kena bayar rm 500 di sebabkan tidak mencukupi jadi agent meminta rm50 dgn tanpa memberi resit…akan tetapi dokumant tak lengkap di sebabkan pay slip gaji x de… selaps itu diberi satu agremant untuk ditanda tangani…di sebabkan tiada pengalaman sy pun sain agremant tu…di situ kesilapan sy..jadi bila sy bincang dgn wife…komitmen terlalu tinggi…jadi sy buat keputusan untuk cancel pembelian rumah…ke esokan harinya…

    Soalan saya adakah saya akan diambil tindakan oleh lawyers dan pemaju…di sebabkan cancel membeli rumah atas sebab komitmant tinggi..dan satu lg.. loan lppsa tak approve lg…

  2. Salam En Asrul.

    Sila baca agremant untuk ditanda tangani,

    1. Biasa jika en bayar booking, kemudian bank memberi keputusan loan en reject, sepatutnya boleh dapat balik semua atau sebahagian.
    2. Tetapi jika en yg cancel pembelian, booking akan hangus.
    3. Tiada tindakan oleh lawyer atau pemaju boleh dikenakan jika en cancel sebelum sain SPA atau Loan dari pihak bank/lppsa

BERI MAKLUM BALAS