SHARE AND LIKE THIS POST

Tips Hartanah menyambut baik program ‘Rent-to-Own’ (RTO) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).  Ianya merupakan suatu program yang benar-benar ikhlas dalam membantu mereka yag mempunyai masalah kelayakan pinjaman untuk meneruskan pembelian rumah PR1MA mereka setelah terpilih.

Sebelum ini beberapa pembeli yang berjaya terpilih terpaksa memberikan semula unit mereka kepada pemohon lain di dalam senarai menunggu akibat daripada kegagalan mendapatkan pinjaman.  Semoga dengan adanya program RTO ini semakin ramai lagi yang mahukan rumah mampu milik mereka sendiri yang memohon rumah PR1MA walaupun tidak mempunyai rekod kewangan yang baik.   Diharapkan dalam tempoh penyewa tersebut mereka dapat membina status dan rekod kewangan mereka menjadi lebih baik dan seterusnya membeli unit yang mereka diami tersebut.

Klik gambar berikut untuk maklumat lanjut Program RTO.

Sumber: pr1ma.my
Sumber: pr1ma.my

Berita lanjut mengenai Program ‘Rent To Own’ (RTO) dari PR1MA:-

PUTRAJAYA, Jumaat – Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) hari ini melancarkan program ‘Rent-to-Own’ (RTO) bagi membantu pembeli yang tidak layak mendapat pinjaman perumahan untuk memiliki rumah PR1MA.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata di bawah program pemilikan rumah tertangguh itu, pembeli yang memiliki kadar kredit lemah diberi pilihan menyewa selama 10 tahun dalam usaha membina ekuiti deposit yang diperlukan untuk membuat pinjaman bank.
Beliau berkata, pilihan menyertai program RTO hanya diberikan kepada bakal pembeli sebagai pilihan terakhir jika permohonan pinjaman mereka ditolak oleh bank panel PR1MA.
“Kita buat RTO sebab ada kes pembeli yang sudah diundi gagal mendapatkan pinjaman daripada bank dan rumah itu akhirnya terpaksa diberikan kepada mereka yang berada dalam senarai simpanan,” katanya.
Beliau berkata, RTO adalah sebahagian daripada komponen Program Bantuan Pembeli Rumah yang memberi peluang kepada lebih ramai rakyat berpendapatan sederhana berkelayakan untuk memiliki rumah PR1MA.
Abdul Mutalib berkata, Program Bantuan Pembeli Rumah mengandungi dua lagi komponen iaitu pinjaman akhir hingga 110 peratus dan PR1MA Care.
Katanya, bagi program pinjaman akhir sehingga 110 peratus, sebanyak enam institusi kewangan berkolaborasi dengan PR1MA untuk menawarkan pakej kewangan menarik buat bakal pembeli.
Institusi terbabit adalah Malayan Banking Berhad, CIMB Group Berhad, Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Bank Kerjasama Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam.
“Pakej kewangan ini termasuk pembiayaan sehingga 110 peratus daripada harga jual dan beli (SPA) selain tidak memerlukan bayaran deposit,” katanya.
Beliau berkata, bagi program PR1MA Care pula disasarkan kepada tiga kumpulan utama termasuk pembeli/pemilik rumah; pendaftar PR1MA dan pemaju/kontraktor.
Abdul Mutalib berkata, bagi pemilik/pembeli rumah PR1MA, manfaat dapat dinikmati dalam bentuk perlindungan pasca pembelian, kadar insurans menyeluruh yang lebih murah serta penjagaan kebajikan yang komprehensif.
“Bagi pendaftar umum PR1MA pula, mereka dapat menikmati manfaat dalam bentuk potongan harga dan promosi-promosi eksklusif dengan rakan-rakan niaga yang mengambil bahagian di seluruh negara,” katanya. – Bernama
Comment

BERI MAKLUM BALAS