SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mencatat jualan hartanah sebanyak RM3 bilion sepanjang tempoh enam bulan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berlangsung sejak awal tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata jumlah terbabit adalah merangkumi jualan kira-kira 4,000 unit rumah kediaman daripada 13,000 unit yang ditawarkan sepanjang enam bulan kempen HOC berlangsung.

Katanya, jumlah berkenaan hanyalah yang dicatatkan PR1MA sahaja dan tidak termasuk dengan syarikat lain yang menyertai kempen berkenaan.

“Sepanjang HOC berlangsung, rumah yang dijual pada harga RM300,000 dan ke bawah mendapat sambutan menggalakkan.

“Bagi mereka yang gagal mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah pada HOC, kami akan mempertimbang untuk menawarkan skim pemilikan rumah secara sewa beli (RTO),” katanya pada sidang media sempena pelancaran Hi HOME di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengasas yang juga Ketua Eksekutif Hartabumi dotCom Sdn Bhd, Radzi Tajuddin.

Hi HOME adalah platform kupasan idea, perbincangan solusi baharu dan pengenalan teknologi terkini bagi membantu kerajaan dalam menangani isu pemilikan rumah di negara ini terutama bagi golongan belia.

Ia mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan negeri Selangor dan Perak.

Baru-baru ini, Zuraida mengumumkan HOC 2019 yang sepatutnya berakhir Jun lalu dilanjutkan sehingga Disember depan bagi membuka lebih ruang untuk rakyat negara ini memiliki kediaman sendiri, sekali gus membantu industri perumahan negara untuk berada pada landasan sebenar.

Sementara itu, Radzi berkata Hi HOME menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM500 juta menerusi Ekspo Hartanah Online yang dianjurkannya bermula 25 Julai ini.

Katanya, ekspo yang berlangsung selama tiga bulan sehingga 31 Oktober itu menawarkan 100 projek perumahan di seluruh negara dengan 50 peratus daripadanya adalah projek rumah mampu milik.

“Ekspo berkenaan mendapat kerjasama daripada pemaju hartanah yang menawarkan unit rumah kediaman baharu kepada pembeli di Lembah Klang, Terengganu, Kelantan serta wilayah tengah seperti Melaka dan Negeri Sembilan.

“Antara pemaju yang terbabit termasuklah UEM Sunrise, MRCB, UDA Holdings, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), PR1MA dan sebagainya.

“Dianggarkan nilai keseluruhan stok hartanah kediaman yang ditawarkan pada ekspo berkenaan adalah sebanyak RM3.4 bilion,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS