SHARE AND LIKE THIS POST

Nampaknya rungutan pembeli rumah pertama berkaitan kegagalan mendapatkan pinjaman melalui bank komersil mendapat respons yang baik dari pihak kerajaan.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan bahawa pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi berkaitan perkara ini.

Menurut beliau, pembeli Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) hanya perlu membayar ansuran bulanan sekitar RM400 dan RM500 sebulan untuk sebuah rumah berharga RM200,000 berbanding bayaran sekitar RM1,800 sebulan di bank komersil.

Tips Hartanah tidak dapat memastikan berapa kadar faedah/keuntungan sebenar yang digunakan untuk memperolehi bayaran sekitar RM400-500 sebulan dan bagaimana pengiraan beliau yang menunjukkan pinjaman RM200,000 di bank komersil menyebabkan pembayaran bulanan sebanyak RM1,800 sebulan.

Berdasarkan pengiraan kasar pinjaman RM200,000, untuk tempoh 35 tahun dan pada kadar faedah 4%  pembayaran bulanan adalah sekitar RM900 sebulan manakala jika pinjaman melalui bank berdasarkan purata kadar pinjaman sekarang BLR (6.6%) minus 2% = 4.6%, bayaran bulanan adalah sekitar RM1,000 sahaja berbanding RM1,800 yang dinyatakan.

Ansuran Bulanan Harga RM200,000, 4%, 35 tahun

Walau apapun, pastinya menarik untuk kita mengetahui butiran lanjut mengenai pembiayaan PR1MA ini yang membolehkan pembeli membayar sekitar RM500 sebulan.  Sama ada itu untuk tempoh beberapa tahun pertama sahaja,  kadar faedah yang sangat rendah (tak mungkinn..) atau tempoh pinjaman yang dilanjutkan melebihi 35 tahun berbanding apa yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara (maksimum 35 tahun)…. sama-sama kita nantikan..

Berita lanjut adalah seperti berikut:-

Bayar RM400 Sebulan Untuk Rumah PR1MA Berharga RM 200,000

Pembeli Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mungkin hanya akan membayar antara RM400 dan RM500 sebulan untuk sebuah rumah berharga RM200,000, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pinjaman bank komersil yang biasanya sekitar RM1,800 sebulan bagi membiayai pinjaman sebesar itu.

“Kalau gaji RM3,000 mana mampu nak bayar RM1,800. Ini berita gembira bila dia masuk pinjaman bersama dengan PR1MA nanti dan skim pinjaman ini akan diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi,” katanya.

Katanya PR1MA bukan sahaja membina rumah untuk rakyat tetapi juga menolong menyediakan pinjaman.

Shahidan yang enggan menjelaskan perkara itu secara terperinci, berkata skim tersebut sebahagian daripada pakej untuk membantu pemohon yang berjaya mendapat rumah PR1MA namun gagal memperoleh pembiayaan bank.

Katanya sebanyak 6,174 unit PR1MA akan dibina di Negeri Sembilan, Selangor (8,872 unit), Kuala Lumpur (4,636 unit), Johor (7,539 unit), Pulau Pinang (2,510 unit), Kedah (1,349 unit), Perak (208 unit), Pahang (1,152 unit), Sabah (9,910 unit) dan Sarawak (1,877 unit).

Beliau juga meminta pemilik tanah yang mahu membangunkan tanah mereka agar menghubungi pemaju PR1MA.

Pembangkang hari ini memandang sinis keupayaan kerajaan untuk membangunkan perumahan untuk rakyat tetapi mereka tidak sedar bahawa projek ini sudahpun bermula apabila anggota perbadanan PR1MA dilantik pada Mac lepas, katanya.

Comment

1 komen

BERI MAKLUM BALAS