SHARE AND LIKE THIS POST

nusajaya-condo

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri tidak bercadang menaikkan had harga rumah yang boleh dibeli oleh rakyat asing bagi mengawal kenaikan harga rumah di Johor, sebaliknya mengkaji pendekatan lain.

Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata meningkatkan had harga rumah yang boleh dibeli rakyat asing daripada RM500,000 ke RM1 juta tidak akan mengurangkan pembelian mendadak oleh golongan itu.

“Sebaliknya (kenaikan had harga rumah rakyat asing ke RM1 juta) akan hanya mendorong pemaju perumahan untuk meningkatkan harga jualan rumah mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah projek hartanah D’Pristine @ Medini di Nusajaya, hari ini.

Beliau berkata jika kerajaan negeri meningkatkan had harga rumah untuk rakyat asing kepada RM1 juta, pemaju perumahan akan bertindak membina rumah-rumah dan premis perniagaan yang melebihi RM1 juta.

Kerajaan negeri kata beliau, sedang melihat pendekatan lain bagi mengawal pembelian mendadak rakyat asing terhadap rumah-rumah dan premis perniagaan di Johor untuk tujuan spekulasi.

Antara cadangan yang sedang dikaji oleh kerajaan negeri, katanya ialah tidak membenarkan rakyat asing menjual rumah yang dibeli mereka di Johor semata-mata untuk mengaut keuntungan.

“Aktiviti beli dan jual yang saya akui berlaku di negeri ini hanya menyebabkan harga kediaman meningkat dan selepas ini kerajaan negeri akan mengawal dan hanya pembeli tulen dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menegaskan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan pada pelaburan syarikat luar negara, tetapi turut membuka ruang untuk penyertaan syarikat tempatan.

“Dengan adanya pelaburan dan penyertaan ini daripada luar, ia bukan sahaja menyumbang pertumbuhan ekonomi, tetapi turut membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk turut sama terlibat menjayakan sektor hartanah,” kata beliau. – Bernama

Comment

1 komen

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan pelaburan didalam sesebuah negeri bagi menjana pendapatan sesebuah negeri? Adakah seseorang/organisasi yang memajukan sesebuah kawasan dinamakan sebagai pelabur yang dimaksudkan? atau bagaimana. mohon penjelasan. terima kasih.

BERI MAKLUM BALAS