SHARE AND LIKE THIS POST

image-3SHAH ALAM – Sikap pemaju yang berlumba-lumba mengaut keuntungan didakwa antara punca harga rumah semakin melambung dan bukannya semata-mata disebabkan oleh permintaan yang tinggi.

Profesor Ekonomi di Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin mendakwa, terdapat sesetengah pemaju yang mengambil untung sehingga 50 peratus atau lebih daripada kos jualan rumah berkenaan.

Katanya, pemaju juga didakwa tidak akan mengurangkan untungnya walaupun kos bahan mentah atau nilai hartanah naik, sebaliknya ia dimasukkan ke dalam harga jualan rumah yang ditanggung pembeli.

“Saya mempunyai akses kepada syarikat pemaju. Ada pemaju yang jual rumah RM200,000, tapi kos pengeluaran (untuk rumah itu) tidak sampai pun RM100,000. Mereka (pemaju) tak jelaskan kos sebenar dan hanya mereka saja yang tahu.

“Permintaan terhadap rumah itu turut disokong dengan program galakan beli rumah seperti pinjaman perumahan yang mudah dengan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kadar premium rendah dan beli tanpa cengkeram,” katanya.

Selain itu, katanya, kemudahan infrastruktur juga tidak mempengaruhi harga rumah memandangkan permintaan terhadap kediaman adalah tinggi.

Amir berkata, pemaju berani berbuat demikian kerana tiada kawalan dan undang-undang khusus berhubung kadar keuntungan yang boleh dikaut pemaju perumahan.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan supaya merangka undang-undang khusus untuk mengawal keuntungan yang dikaut pemaju menerusi potongan cukai pendapatan syarikat lebih tinggi atau cara lain.

“Dengan undang-undang itu, mungkin akan ada satu badan kawal selia untuk mengawal harga rumah ini atau untung pemaju.

“Selain itu, untuk pembeli rumah pula, kerajaan boleh buat pendaftaran pembelian rumah bagi memberikan keutamaan kepada mereka yang masih belum mempunyai kediaman sendiri,” katanya.

Menurutnya, agak sukar untuk mengawal harga bahan mentah yang digunakan dalam pembinaan rumah memandangkan ia melibatkan harga pasaran yang mempunyai unsur bahan import, selain banyak komponen binaan digunakan.

“Walaupun binaan (rumah berasaskan) batu, marmar atau simen, ia tak menjamin harga (rumah) murah. Sukar kawal kos input (pengeluaran bahan mentah) sebab ada unsur import kerana bina rumah banyak gunakan tulang-tulang besi. Kita kekurangan bahan ini,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan rumah mampu milik, Amir menyifatkan, ia langkah yang baik untuk mengawal keuntungan pemaju.

Beliau berkata, ia juga mampu membantu orang ramai memiliki kediaman sendiri dengan harga berpatutan, selain memberi saingan kepada pemaju perumahan swasta.

“Bila kita wujudkan rumah mampu milik, secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah permintaan. Bila kita letak harga bagus, ia beri saingan kepada syarikat swasta lain untuk menurunkan harga rumah.

“Ia meningkatkan penawaran rumah mampu milik dan boleh mengelakkan monopoli. Kalau pemaju besar, mereka sanggup membiarkan rumahnya kosong selama bertahun-tahun (tak dijual), tapi pemaju kecil, kena jual cepat untuk pusingan modalnya,” katanya.

Sumber

Comment

BERI MAKLUM BALAS