SHARE AND LIKE THIS POST

KERAJAAN menimbang menaikkan had kelayakan pendapatan untuk memiliki rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan sederhana memiliki kediaman pada harga yang mereka mampu.

Ketua Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata ini kerana had kelayakan pendapatan antara RM2,500 sehingga RM7,500 yang ditetapkan ketika ini adalah berdasarkan kepada statistik pada 2009, yang berkemungkinan tidak lagi sesuai berdasarkan kos sara hidup semasa.

 Beliau berkata, keadaan akan lebih sulit bagi yang sudah berkeluarga kerana yang diambil kira ialah gabungan pendapatan keluarga.
“Mereka yang seperti ini (yang sudah berkeluarga) sepatutnya adalah golongan berpendapatan sederhana yang layak memohon untuk mendapatkan rumah yang sesuai pada harga yang mampu dibayar.

“Justeru, jika kita kekal dengan had pendapatan maksimum RM7,500, maka ramai yang sebenarnya perlu dibantu di bawah program ini tidak layak untuk memohon,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada program sulung Business Times Insight bertajuk Kediaman Mampu Milik di Kuala Lumpur, semalam.

Program Business Times Insight yang akan diadakan sebanyak empat siri setahun bertujuan menyediakan platform perkongsian idea intelektual dalam industri tertentu membabitkan interaksi di kalangan ahli korporat, pemimpin kerajaan, ahli akademik dan orang ramai bagi membincangkan isu kepentingan awam.

Dalam program semalam, ia disertai lima ahli panel, iaitu Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor; Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA), Datuk Seri Michael Yam Kong Choy; Pengerusi Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Asia Pasifik, Datuk Alan Tong Kok Mau; Ketua Pusat Penyelidikan Perumahan Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Ir Abang Abdullah Abang Ali; dan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Ketua Eksekutif NSTP, Mohammad Azlan Abdullah; dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Setakat ini, lebih 100,000 unit rumah PR1MA dilancarkan untuk manfaat rakyat yang layak yang berusia lebih 21 tahun, memiliki sebuah rumah, sama ada bujang atau berkeluarga.

Ia membabitkan 25,000 unit di Johor, 11,000 unit (Negeri Sembilan), 10,000 unit (Pulau Pinang), 10,000 unit (Melaka) dan terbaru sebanyak 50,000 unit diumumkan akan dibina di sekitar Lembah Klang.

Harga rumah dibangunkan PR1MA ialah antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit, bergantung kepada lokasi dan pembangunan sekitar kawasan berkenaan, iaitu 20 peratus lebih rendah berbanding rumah dalam kelas dan sekitar lokasi sama.

Abdul Mutalib berkata, PR1MA juga sedang mengkaji untuk mewujudkan skim pembiayaan khusus bagi membantu pemohon yang diundi layak memiliki rumah berkenaan tetapi gagal mendapat pembiayaan akhir dari institusi kewangan.

Beliau berkata, selain menggunakan kaedah pembiayaan oleh institusi kewangan, pihaknya juga sedang mengkaji kaedah lain seperti perkongsian ekuiti, skim penyewaan dan konsep sewa beli yang pelaksanaannya akan diputuskan selepas kajian mengenainya selesai.

“Kami faham masalah berkenaan (pembiayaan akhir), justeru kami telah menubuhkan pasukan khas untuk meninjau pelbagai cara pembiayaan yang sesuai untuk menanganinya,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS