Kota Tinggi: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yakin dapat menyiapkan 21,000 unit rumah menerusi program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh negara tahun ini.
Ketua Pegawai Teknikal Urusan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali, berkata pembinaan setiap rumah mengambil masa kira-kira empat bulan dengan menggunakan Sistem Bangunan Industri (IBS).
Ketika ini, kira-kira 10,000 unit rumah sedang dibina yang dijangka siap pada April ini, manakala pembinaan 11,000 unit dijangka selesai sebelum akhir tahun ini.
“Sebelum ini, projek pembinaan mengambil masa agak lama untuk dimulakan sehingga menyebabkan kerajaan memutuskan untuk menggunakan konsep IBS dalam pembinaan rumah berkenaan.
40,000 reka bentuk
“Menerusi konsep itu, keluasan asal rumah daripada 79.6 meter persegi diubah kepada 93 meter persegi dan kita juga mempunyai sehingga 40,000 reka bentuk yang perlu diputuskan sebelum pembinaan dimulakan,” katanya selepas pelancaran pembinaan Rumah SPNB Generasi Kedua FELDA Sungai Sayong, di sini.
Majlis itu disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki. Turut hadir, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Azizi berkata, SPNB akan meneruskan agenda kerajaan untuk menyediakan rumah kepada rakyat dengan bantuan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang menyediakan tapak.
Katanya, kerajaan mempunyai agenda untuk menyediakan perumahan kepada rakyat dan SPNB menjadi agensi untuk meneruskan agenda berkenaan.
“Malah, SPNB menerima banyak maklum balas dari negara luar yang kagum dengan usaha kerajaan menyediakan perumahan kepada rakyat,” katanya.
Sumber: Berita Harian