JOHOR BAHRU – Rakyat Johor yang merancang untuk memiliki kediaman sendiri disaran merealisasikan impian itu segera kerana harga rumah terutama di kawasan Wilayah Iskandar dijangka mengalami peningkatan harga mendadak dalam tempoh setahun akan datang.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Johor, Datuk Ir Steve Chong Yoon On berkata, harga perumahan dijangka meningkat kepada lima hingga 10 peratus pada tahun depan.
Menurutnya, kenaikan berpunca daripada peningkatan kos serta kejatuhan nilai ringgit sejak dua tahun lalu.
“Sekarang adalah masa terbaik kepada orang ramai yang berhasrat memiliki kediaman sendiri kerana kita menjangkakan pasaran hartanah di Iskandar Malaysia semakin mencabar pada tahun depan.
“Ia berpunca daripada kenaikan harga tanah, bahan binaan dan kos buruh berikutan kejatuhan nilai ringgit sejak dua tahun lalu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat kerjasama dengan syarikat pengeluaran bahan binaan tempatan dan China, di sini, semalam.
Katanya, ahlinya diminta menumpukan projek perumahan antara RM300,000 hingga RM700,000 berikutan permintaan daripada pembeli masih baik.
“Kita melihat permintaan rumah bernilai lebih RM800,000 mengalami kesukaran menarik pembeli kerana trendnya menurun.
“Sebab itu kita minta ahli-ahli kita supaya tumpuan lebih menjurus kepada projek perumahan di bawah RM700,000,” katanya.