Seperti sedia maklum tanah dengan status milikan pajakan akan tertakluk kepada sesuatu tempoh pajakan yang diberikan. Pemilik biasanya boleh memohon kepada Pejabat Tanah untuk lanjutan tempoh pajakan jika baki pajakan adalah pendek, contohnya kurang 50 tahun dan perlu membayar premium atas lanjutan tempoh pajakan tersebut.
Untuk negeri Selangor, pengiraan lanjutan tempoh pajakan adalah seperti berikut:-
¼ x 1/100 x nilaian tanah yang diluluskan x tempoh pajakan yang dipohon x luas.
Pemohon akan diberi pilihan samada untuk menjelaskan bayaran premium tersebut secara sekaligus dengan diskaun sebanyak 30% atau bayaran nominal sebanyak RM1,000.00 dalam tempoh enam (6) bulan daripada Notis Borang 5A berkuatkuasa.
Tiada tempoh lanjutan akan diberikan selepas tempoh 6 bulan Notis Borang 5A.
Pembayaran nominal RM1,000 tersebut hanya terpakai untuk bayaran premium dan tidak termasuk bayaran-bayaran lain. Selain itu ianya hanya terpakai untuk pemohon individu manakala pemohon lain perlu menyelesaikannya secara sekaligus.
Pengiraan ini juga terpakai kepada kategori bangunan dan syarat nyata tanah bangunan kediaman untuk kegunaan sendiri sahaja.