KUALA LUMPUR: Kadar Asas Standard akan berkuat kuasa sebagai kadar rujukan bagi penentuan kadar faedah untuk pinjaman runcit berkadar terapung baharu dan pembiayaan semula pinjaman sedia ada mulai 1 Ogos 2022, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Di bawah Rangka Kerja Kadar Rujukan yang dikemas kini, Kadar Asas Standard akan menggantikan Kadar Asas (BR) sebagai kadar rujukan bagi pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu.
Kadar rujukan adalah kadar faedah yang boleh diakses oleh orang ramai dan digunakan oleh institusi kewangan sebagai asas untuk menentukan kadar faedah untuk pinjaman.
BNM dalam satu kenyataan berkata, Kadar Asas Standard akan digunakan sebagai kadar rujukan yang sama bagi semua institusi kewangan untuk pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu.
Ia berkata, Kadar Dasar Standard itu akan dihubungkan hanya kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR), justeru ia hanya akan berubah apabila berlaku perubahan pada OPR, yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.
Bank pusat itu berkata, komponen penetapan kadar faedah untuk pinjaman yang lain seperti risiko kredit peminjam, premium risiko mudah tunai, kos operasi, marjin keuntungan dan kos-kos lain akan terus dicerminkan dalam spread yang melebihi Kadar Asas Standard.
Katanya, penggunaan OPR sebagai Kadar Asas Standard akan memudahkan lagi perbandingan dan lebih telus kepada pengguna.
“Pelanggan akan lebih mudah memahami perubahan dalam bayaran balik pinjaman mereka memandangkan OPR akan menjadi satu-satunya penentu bagi Kadar Asas Standard.
“Kadar Asas Standard juga akan menyokong transmisi dasar monetari yang berkesan kerana pelarasan sepenuhnya pada bayaran balik pinjaman runcit akan dilaksanakan mengikut perubahan pada OPR,” kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Rangka Kerja Kadar Rujukan diperkenalkan pada 2015, yang menetapkan BR sebagai kadar rujukan untuk pinjaman runcit berkadar terapung di Malaysia.
Di bawah rangka kerja itu, institusi kewangan menggunakan kaedah yang berbeza untuk menetapkan BR masing-masing, yang menyebabkan pengguna lebih sukar untuk membandingkan produk pinjaman runcit ditawarkan oleh setiap institusi kewangan dan memahami sebab di sebalik perubahan pada bayaran balik pinjaman mereka.
Selain itu, kaedah penetapan BR yang berbeza antara institusi kewangan menyebabkan transmisi dasar monetari yang semakin
tidak sekata.
Mengulas lanjut penguatkuasaan Rangka Kerja Kadar Rujukan yang dikemas kini bermula 1 Ogos 2022, BNM berkata, tempoh peralihan selama satu tahun akan memberikan masa yang mencukupi untuk institusi kewangan membuat persediaan dan penambahbaikan sistem yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan rangka kerja yang dikemas kini berjalan dengan lancar.
Ia berkata, peralihan kepada Kadar Asas Standard tidak akan memberikan kesan kepada kadar pinjaman efektif bagi pinjaman runcit sedia ada, kerana pinjaman runcit sedia ada akan terus menggunakan BR dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sebagai rujukan.
“Selepas tarikh kuat kuasa itu, BR dan BLR akan bergerak betul-betul seiring dengan Kadar Asas Standard. Jika berlaku
pelarasan pada Kadar Asas Standard, BR dan BLR akan diselaraskan secara serentak.
“Justeru itu, institusi kewangan akan terus memaparkan BR dan BLR mereka, selain memaparkan Kadar Asas Standard, di semua cawangan dan laman web mereka selepas tarikh kuat kuasa untuk rujukan pelanggan,” katanya.
BNM berkata, peminjam runcit baharu juga tidak sepatutnya terkesan oleh perubahan ini kerana kadar pinjaman efektif bagi peminjam baharu akan terus ditentukan secara kompetitif dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk penilaian institusi kewangan terhadap kedudukan kredit peminjam, keadaan pendanaan dan strategi perniagaan.
Katanya, peralihan kepada Kadar Asas Standard susulan pengemaskinian Rangka Kerja Kadar Rujukan tidak menggambarkan berlakunya perubahan pada pendirian dasar monetari oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.