SHARE AND LIKE THIS POST

BANK Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk menurunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Ia bertujuan memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

Berikutan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.

Ini adalah penurunan kali keempat dalam tempoh enam bulan dengan jawatankuasa itu pada 22 Januari dan 3 Mac lalu membuat keputusan untuk menurunkan masing-masing sebanyak 0.25 peratus.

MPC pada 5 Mei lalu mengurangkan OPR sebanyak 0.50 peratus.

BNM berkata, impak Covid-19 terhadap ekonomi global adalah teruk dan ia dijangka kekal lemah dengan pertumbuhan global yang diunjurkan negatif pada tahun ini.

“Walaupun paras terendah dijangka berlaku pada suku kedua, kelemahan yang menyeluruh dalam pasaran buruh dan sikap berhati-hati isi rumah serta perniagaan boleh menjejaskan pemulihan pada masa depan.

“Beberapa ekonomi utama telah mula melonggarkan langkah pembendungan pandemik Covid-19 yang membawa kepada penyambungan semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.

“Keadaan kewangan bertambah baik, walaupun kegiatan penghindaran risiko terus tinggi. Risiko prospek global

menjadi lebih perlahan masih wujud, terutamanya jika pandemik kembali menular dan memerlukan pelaksanaan semula langkah pembendungan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

BNM berkata, bagi Malaysia, aktiviti ekonomi menguncup dengan ketara pada suku kedua 2020, disebabkan oleh langkah yang diperkenalkan untuk membendung pandemik pada peringkat global dan dalam negara.

Katanya, susulan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dan berperingkat sejak awal Mei, kegiatan ekonomi telah mulai pulih daripada paras terendah pada suku kedua.

Pakej rangsangan fiskal bersama-sama langkah monetari dan kewangan akan terus memperkukuh prospek pertumbuhan ekonomi.

“Ekonomi dalam negara yang diunjurkan bertambah baik dijangka terus disokong oleh pemulihan keadaan pertumbuhan global secara beransur-ansur.

“Bagaimanapun, kadar dan kekuatan pemulihan masih tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca daripada faktor dalam dan luar negeri.

“Hal ini termasuk sekiranya pandemik kembali menular yang menyebabkan pelaksanaan semula langkah pembendungan, keadaan pasaran buruh yang semakin lemah, dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan,” katanya.

Bank pusat berkata, tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana pada 2020.

“Purata inflasi keseluruhan berkemungkinan menjadi negatif pada tahun ini, mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang jauh lebih rendah.

“Risiko penurunan harga yang menyeluruh dan berterusan katanya adalah terhad apabila kegiatan ekonomi diteruskan semula dan keadaan permintaan bertambah baik,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS