SHARE AND LIKE THIS POST

 

KESILAPAN YANG PERLU PERUNDING HARTANAH (REN) ELAKKAN

Sebagai seorang REN, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian terhadap skop kerjaya atau kemahiran dalam jualan bagi memastikan prestasi jualan anda terus meningkat. Pada masa yang sama, setiap klien berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Anda mungkin terlepas beberapa perkara yang mungkin remeh bagi anda akan tetapi sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi jualan, antranya adalah:-

𝟭) 𝗞𝘂𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗕𝗲𝗿𝗸𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝗸𝗮𝘀𝗶

Antara skop kerja utama sebagai seorang Perunding Hartanah (REN) adalah membantu pihak penjual dan pembeli membuat rundingan antara satu sama lain dalam menjayakan satu transaksi jual beli. Oleh itu, komunikasi yang baik memainkan peranan yang sangat penting antara REN dan klien. Dapatkan status perkembangan jual beli dari pihak peguam dan pihak bank bagi memastikan semua prosedur berjalan dengan lancar. Seterusnya setiap perkembangan dalam proses jual beli perlulah dimaklumkan kepada klien agar mereka sedia maklum akan proses tersebut.

..

𝟮) 𝗧𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗹𝗶𝘁𝗶 𝗧𝗲𝗿𝗺𝗮 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝘆𝗮𝗿𝗮𝘁 𝗣𝗲𝗿𝗷𝗮𝗻𝗷𝗶𝗮𝗻

Sebelum seseorang REN menerangkan proses jual beli kepada klien, anda sendiri perlulah faham terhadap terma dan syarat yang terkandung pada surat perlantikan agensi hartanah dan surat perjanjian untuk belian (ATP) tersebut. Seterusnya terangkan dengan teliti dan jelas kepada klien satu persatu syarat dan terma yang termaktub sebelum mereka menandatanginya bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau perbalahan sekiranya proses jual beli tidak berjaya. Ini juga dapat memudahkan urusan syarikat dalam mengendalikan wang deposit yang telah dibayar oleh pihak pembeli.

..

𝟯) 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗗𝗮𝘁𝗮 𝗞𝗹𝗶𝗲𝗻 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗧𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗦𝗶𝘀𝘁𝗲𝗺𝗮𝘁𝗶𝗸

Pengurusan data klien yang tidak sistematik menyebabkan seseorang REN kehilangan arah dalam mengendali suatu proses jual beli. Pengurusan data yang baik dapat membantu dan memudahkan REN untuk membuat semakan status proses jual beli sesuatu kes terlibat. Rekodkan nama klien, tarikh, lokasi hartanah, maklumat hartanah, lokasi hartanah, harga jualan, gambar, tahap proses jual beli dan lain-lain. Sentiasa kemaskini status dan data yang telah direkodkan, dengan ini anda tidak terlepas maklumat tentang klien dan peluang untuk menjayakan lebih banyak jual beli.

..

𝟰) 𝗞𝘂𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗲𝗻𝗴𝗶𝗸𝘂𝘁𝗶/𝗠𝗲𝗻𝗰𝘂𝗯𝗮 𝗣𝗹𝗮𝘁𝗳𝗼𝗿𝗺 𝗣𝗲𝗺𝗮𝘀𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗱𝗶𝗮 𝗦𝗼𝘀𝗶𝗮𝗹

Pelbagai platform pemasaran media sosial dapat membantu REN meningkatkan jumlah jualan antaranya Facebook, Instagram Business, Twitter, Tiktok, Youtube dan sebagainya. Kunci utama adalah REN haruslah berani mencuba dan rajin untuk memuat naik maklumat mengenai diri dan aktiviti kerjaya anda serta berkongsi pengetahuan mengenai hartanah seperti cara membeli/menjual rumah, insentif yang diperkenalkan kerajaan kepada pembeli rumah, cara pengiraan mudah untuk semak kelayakan diri dan banyak lagi. Dengan ini lebih ramai yang akan mengenali dan percaya dengan perkhidmatan daripada anda.

..

𝟱) 𝗧𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗠𝗲𝗻𝗴𝗵𝗮𝗿𝗴𝗮𝗶 𝗞𝗹𝗶𝗲𝗻

Penting bagi REN untuk berikan perkhidmatan yang terbaik kepada klien meskipun jual beli tersebut tidak berjaya. Pastikan mereka berasa selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Dengan ini, seseorang dapat membina hubungan baik dengan klien secara jangka panjang dan sekaligus menjadi kenalan mereka.

Walaupun perkara seperti ini nampak remeh, tetapi ianya memberi kesan yang mana kadang kala REN tidak perasan. Oleh itu, fikir semula dimana kurangnya anda dan sentiasa bersemangat dalam perbaikinya.

Oleh: Asma Salwa

Comment

BERI MAKLUM BALAS