SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Permintaan hartanah kediaman peringkat nasional untuk separuh pertama (H1) tahun ini susut 2.5 peratus berbanding peningkatan 4.0 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, demikian mengikut laporan H1 2020 Portal Demand Analytics oleh portal hartanah, iProperty.

Laporan itu mendedahkan, penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti berkaitan hartanah tertangguh selama lebih lapan minggu, sekali gus menyebabkan penguncupan permintaan.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan REA Group Asia, Premendran Pathmanathan, berkata di peringkat nasional, permintaan terhadap ketiga-tiga hartanah kediaman iaitu rumah teres, kondominium dan apartmen servis masing-masing menurun sebanyak 3.3 peratus, 5.2 peratus dan 7.2 peratus.

Katanya, bagi kondominium dan apartmen servis, harga median masing-masing ialah RM480,000 dan RM470,000 manakala pertumbuhan modal bagi dua jenis kediaman ini pula masing-masing menurun sebanyak 2.78 peratus dan 4.88 peratus.

“Penurunan ini adalah seiring dengan penularan wabak COVID-19 dan kekangan pergerakan yang disebabkan oleh PKP pada suku kedua 2020. Selain itu, ia juga berpunca daripada ketidaktentuan sentimen pengguna seperti kehilangan punca pendapatan dan perubahan mendadak pada gaya hidup, keutamaan dan keadaan semasa individu.

“Bagaimanapun, angka kunjungan dan penyenaraian hartanah bagi rumah teres pada H1 2020 meningkat dengan pertumbuhan modal sebanyak 2.21 peratus.

“Ini menjadikan rumah teres satu-satunya jenis hartanah yang merekodkan pertumbuhan modal positif dalam tempoh yang sama,” katanya ketika membentangkan hasil penemuan laporan itu secara maya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Premendran berkata, analisis iProperty.com.my juga menunjukkan penurunan angka pertumbuhan modal di bandar-bandar utama di Malaysia pada H1 2020.

Katanya, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur merekodkan penurunan terbesar iaitu -7.07 peratus diikuti George Town (-5.42 peratus), Petaling Jaya (-2.59 peratus), Johor Bahru (-1.73 peratus) dan Shah Alam (-1.11 peratus).

“Trend ini memang telah dijangka memandangkan hartanah di kawasan bandar raya utama mempunyai harga tinggi dan akan paling terkesan apabila berlakunya peristiwa luar biasa seperti COVID-19,” katanya.

Mengenai langkah kerajaan mahu memperkenalkan cukai pengosongan hartanah, beliau berkata, cukai itu tidak sesuai untuk dilaksanakan pada masa ini, namun dalam tempoh 10 tahun akan datang ia mungkin wajar dilakukan.

“Pada pandangan saya, ya, ia adalah langkah yang baik untuk mengatasi masalah lebihan bekalan hartanah, tetapi untuk pada masa depan, bukan pada masa sekarang.

“Kita berharap dalam tempoh 10 tahun akan datang, cukai pengosongan hartanah ini dapat dilaksanakan bagi memastikan masalah lebihan atau lambakan hartanah kediaman tidak terjual dapat diatasi,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS