SHARE AND LIKE THIS POST

UOB Kay Hian yakin langkah diperkenalkan kerajaan seperti Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dapat mengurangkan impak penurunan jualan hartanah ketara pada separuh pertama 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan dua langkah lain bagi melengkapi HOC itu – pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah (RGPT) dan pemansuhan had nisbah pinjaman-kepada-nilai (LTV).

UOB Kay Hian dalam nota penyelidikannya berkata, pihaknya percaya kemerosotan jualan hartanah pada separuh kedua 2020 (2H20) dapat dihadkan susulan tindakan memperkenalkan semula HOC.

“Mengikut maklumat saluran kami, kebanyakan pemaju mula menerima pertanyaan daripada kalangan pembeli yang berpotensi khususnya segmen hartanah primer.

“Walaupun HOC pada masa ini kelihatan sama seperti HOC pada tahun lalu, kami berpendapat impaknya mungkin tidak besar berikutan tindakan bank yang lebih memperhalusi permohonan pinjaman pembeli yang bekerja dalam sektor terjejas akibat Covid-19 seperti hospitaliti dan pelancongan,” katanya.

Menurutnya, tindakan kerajaan mengecualikan RPGT itu membantu pemilik yang berhasrat menjual hartanah merekaapabila RPGT sebelum ini dimasukkan dalam harga jualan.

“Kami positif terhadap pemansuhan had nisbah pinjaman-kepada-nilai (LTV) sebanyak 70 peratus bagi pembelian oleh pihak ketiga dan memberi fleksibiliti ketara dari segi pembiayaan,” katanya.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jualan hartanah susut sekurang-kurangnya 25 peratus bagi suku-ke-suku berbanding penurunan 14.3 peratus nilai transaksi setakat suku pertama tahun ini.

Ia juga percaya sebahagian besar pemaju tidak membuat pelancaran hartanah baharu bagi tahun ini kerana lebih menumpukan usaha menjual unit sedia ada.

Malah, menurut NAPIC, pelancaran unit baharu itu berkurangan sejak 2018 dan susut 9.2 peratus tahun-ke-tahun kepada 59,968 unit pada 2019.

Dalam pada itu, mengulas Belanjawan 2021, UOB Kay Hian agak positif terhadap harapan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yang membabitkan saranan seperti pinjaman, meningkatkan skim sewa beli dan lanjutan tempoh pinjaman yang dapat membantu memacu jualan hartanah mulai 2021.

Comment

BERI MAKLUM BALAS