SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Bank di Malaysia mula menurunkan kadar asas pinjaman masing-masing selepas Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus daripada 2.75 peratus.

Public Bank dalam kenyataannya hari ini mengurangkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR)/Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 0.25 peratus mulai Jumaat ini.

Ia berkata, pada masa yang sama, kadar deposit tetap juga akan diselaraskan sebanyak 0.25 peratus, bermula pada tarikh yang sama.

โ€œPengurangan kadar dasar Public Bank adalah tepat pada masanya untukm mengurangkan beban peminjam dan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara di tengah-tengah cabaran ekonomi berterusan dibawa oleh COVID-19,โ€ katanya.

RHB Banking Group juga menyemak semula turun BR dan Kadar BLR sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 9 Mac ini.

Berikutan itu, RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd akan mengurangkan BR masing-masing daripada 3.50 peratus kepada 3.25 peratus setahun serta BLR daripada 6.45 peratus kepada 6.20 peratus setahun.

Sejajar semakan semula itu, kadar deposit tetap RHB Bank juga akan disemak turun semula sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 9 Mac ini.

Hong Leong Bank Bhd dan Hong Leong Islamic Bank Bhd pula akan mengurangkan BR dan Kadar Asas Islam (IBR) kepada 3.38 peratus daripada 3.63 peratus.

Pinjaman dan pembiayaan yang berasaskan BLR serta Kadar Pembiayaan Islam (IFR) pula akan diturunkan kepada 6.39 peratus daripada 6.64 peratus.

Semua kadar deposit tetap akan disemak turun semula sebanyak 25 mata asas.

Perubahan kadar itu akan berkuat kuasa Jumaat ini.

Maybank semalam muncul bank tempatan pertama yang mengumumkan penurunan BR dan BLR sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa esok seiring dengan penurunan OPR.

BR akan diturunkan daripada 2.75 peratus setahun kepada 2.50 peratus setahun manakala BLR akan disemak semula daripada 6.40 peratus setahun kepada 6.15 peratus setahun.

Selain itu, kadar asas Islam dan kadar pembiayaan asas akan turut dikurangkan sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus setahun kepada 2.50 peratus setahun dan daripada 6.40 peratus setahun kepada 6.15 peratus setahun.

Comment

BERI MAKLUM BALAS