KUALA LUMPUR – Maybank Islamic menawarkan skim inovatif sewa beli hartanah Rent-To-Own (RTO) kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik di Selangor di bawah program khas Sewa Milik Selangorku.
Selangor merupakan negeri pertama yang bekerjasama dengan Maybank Islamic untuk menawarkan penyelesaian RTO melalui satu lagi inisiatif di bawah skim HouzKEY Maybank Islamic.
Pembiayaan sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan oleh Maybank Islamic untuk 4,000 buah kediaman di kawasan seperti Bangi, Sungai Buloh dan Ampang bagi mereka yang layak memohon. Ia dibangunkan berasaskan konsep Ijarah iaitu skim patuh syariah yang menawarkan 10 tahun kadar sewa bulanan yang tetap kepada pelanggan.
Di bawah program itu, pemohon kali pertama akan mendapat pembiayaan 100 peratus dan menyewa pada kadar sewaan bulanan yang rendah.
Sebanyak 20 peratus daripada jumlah sewa akan disimpan sebagai deposit sekuriti dan jumlahnya dikembalikan kepada pelanggan pada akhir tempoh sewaan 10 tahun atau lebih awal apabila mereka menukar kepada pembiayaan perumahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pihaknya merancang untuk mengembangkan sasaran skim HouzKEY Maybank Islamic yang dilancarkan pada Januari tahun ini untuk hartanah yang berharga sehingga RM1 juta kepada projek rumah mampu milik.
“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama memiliki hartanah yang tidak melebihi RM250,000.
“Kami komited memberi penyelesaian alternatif kewangan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar mahu memiliki rumah pertama selaras dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan negeri Selangor mengumumkan inisiatif itu dalam pembentangan bajet 2019 pada Jumaat lalu yang diharap dapat memenuhi permintaan sebahagian daripada 120,000 pemohon berdaftar dengan Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS).
HouzKEY Maybank Islamic yang ditawarkan pula adalah sebahagian daripada inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang memberikan penyelesaian berdaya maju dan mapan dalam pemilikan rumah.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari mengakui bahawa indeks kemampuan perumahan bukan sahaja diukur melalui pembinaan lebih banyak rumah mampu milik tetapi juga keupayaan isi rumah membuat pembayaran pendahuluan.
“Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kerajaan negeri dan institusi kewangan. Kami berharap pelaksanaan program ini akan menjadi penyelesaian yang mapan untuk membantu rakyat dalam memiliki rumah di bawah program Selangorku,” katanya.