SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR – Kuota bumiputera bagi pembelian rumah mampu milik akan dikaji semula, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kajian dan semakan semula dasar itu akan merangkumi penyeragaman harga rumah standard bagi semua lapisan masyarakat.

“Kementerian perlu masa untuk kaji semula dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri dan pembeli rumah. Kita perlu tahu sebabnya, mungkin sebab faktor demografik yang berbeza di sesuatu negeri. Kita lihat ada keperluan untuk seragamkan polisi.

“Pada dasarnya, dalam kerajaan baharu ini, rakyat akan dinilai dari segi kemampuan pendapatan dan tidaklah mengenai bangsa, kalau kita tetapkan rumah mampu milik itu untuk mereka yang berpendapatan bawah RM3,000, maka kita akan gunakan garis panduan itu tidak mengira agama dan bangsa. Begitu juga dengan rumah yang berharga RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex 2018) di Pusat Pameran Mid Valley anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Rehda Datuk Ir Soam Heng Choon mencadangkan agar kerajaan menyemak semula dasar kuota Bumiputera untuk lebih telus dan menjadikannya satu mekanisme pelepasan secara automatik jika ia tidak terjual.

Sementara itu, mengulas pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan perumahan, Zuraida berkata selain harga rumah yang dijangka akan diturunkan, rumah mampu milik juga boleh diberi nilai tambah bagi memastikan pulangan berbaloi kepada pembeli rumah. – Bernama

Comment

BERI MAKLUM BALAS