SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Projek Forest City di Iskandar Malaysia menyaksikan peningkatan ketara pembeli Singapura dan Malaysia berikutan usaha pemasaran melalui galeri jualannya di kedua-dua negara.

Pemaju induknya, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) berkata usaha pemasaran projek itu juga menyasarkan pasaran lain termasuk Hong Kong, Macau, Taiwan, Singapura, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina, Dubai dan Jepun.

“Sehingga kini, asas pelanggan kami adalah pelbagai yang datang dari hampir 30 negara dan kami menjangkakan pembeli rumah serta pelabur akan meningkat ketara dalam masa terdekat ini,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan bagi menjawab The Washington Post dalam laporannya pada 10 September lalu yang mendakwa projek terbabit terlalu mahal untuk rakyat negara ini.

CGPV juga menjelaskan bahawa artikel dalam akhbar berkenaan memetik seorang pegawai syarikat yang bukanlah jurucakap rasmi projek itu.

“Kami terkejut kerana The Washington Post tidak memberikan hak kepada kami untuk memberi kenyataan berhubung perkara sensitif yang dibangkitkan dalam artikel itu.

“CGPV terbuka untuk berhubung dengan The Washington Post bagi memberikan penjelasan di pihak kami atau menjelaskan sebarang maklumat yang diperoleh wartawan mereka,” katanya.

CGPV berkata, laporan oleh akhbar dari Amerika Syarikat (AS) itu juga menyatakan kira-kira 80 peratus daripada 18,000 unit di Forest City itu dibeli oleh rakyat China yang mana terdapat galeri jualan projek itu di seluruh China.

Malah, katanya, projek itu juga dilabelkan sebagai sebahagian daripada Inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ (OBOR) bagi mendapatkan sokongan daripada Beijing.

Artikel yang sama turut menyebut mengenai Sekolah Antarabangsa Forest City Shattuck-St Mary yang baru dibuka mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 1,000 pelajar.

“Angka ini adalah sasaran untuk tiga hingga lima tahun berdasarkan tempoh sekolah yang bermula pada Ogos tahun ini,” kata CGPV.

CGPV adalah syarikat usaha sama antara Country Gardens Holdings, syarikat pemaju hartanah yang disenaraikan di Hong Kong Stock Exhange dan rakan kongsi tempatan di Johor.

Syarikat berkenaan yang kini tertakluk kepada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sedia menghormati dan mematuhi segala peraturan dan perundangan di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 1992, Country Garden berkembang daripada sebuah syarikat hartanah kurang dikenali yang bermula dengan projek kediaman di Daerah Shunde, Foshan terletak di wilayah Guandong, menjadi sebuah pemaju hartanah antarabangsa dengan lebih 1,900 projek kediaman seluruh dunia.

Selain Forest City di Iskandar Malaysia, antara projek terkemukanya adalah Ryde Park di Sydney.

Projek mega Forest City di Johor yang bernilai AS$100 bilion adalah projek futuristik mewah yang dibina di atas empat pulau buatan, terletak hanya sejam dari Singapura.

Comment

BERI MAKLUM BALAS