
JOHOR BAHRU: Pasaran hartanah negara yang mengalami aliran menurun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dijangka kembali meningkat susulan pelaksanaanberkadar sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd, Datuk Khor Chap Jen, berkata langkah pemansuhan GST diharap dapat memulihkan semula sentimen pembeli terutama golongan muda dan pembeli rumah kali pertama.
“Pasaran hartanah sejak tiga tahun lalu sedikit mencabar dengan keadaan pasaran yang perlahan tetapi kita harap ia akan berubah susulan pilihan raya umum dan mampu meningkatkan kembali sentimen pembeli.
“Kita juga melihat trend spekulator hartanah kian menurun, jadi, pembeli yang membeli hartanah pada ketika ini adalah mereka yang benar-benar mahu membeli rumah. Permintaan terhadap rumah sentiasa ada tetapi ia lebih menjurus kepada peningkatan yang stabil secara perlahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) 2018, di pejabat SP Setia, Taman Setia Tropika, dekat sini, hari ini.
Chap Jen berkata dari segi demografi di dalam negara, pihaknya mendapati masih ramai golongan muda yang memerlukan rumah.
Beliau berkata SP Setia mendapati permintaan terhadap rumah bertanah pada purata harga RM500,000 masih ada walaupun berhadapan dengan syarat pinjaman bank lebih ketat sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Kita berharap perkara ini akan berubah setelah banyak permohonan dan rayuan kepada Bank Negara Malaysia oleh pembeli rumah kali pertama supaya mengkaji semula syarat yang dikenakan,” katanya.
Beliau berkata ini memandangkan kebanyakan pembeli rumah kali pertama mempunyai komitmen lain seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau pembiayaan kenderaan yang menyukarkan mereka membuat pembayaran pendahuluan.
“Bagaimanapun, kerajaan baru-baru ini menetapkan pembayar PTPTN boleh mula membayar balik apabila bergaji RM4,000 dan kita melihat perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembeli rumah dengan memberikan mereka lebih kuasa membeli,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata SP Setia akan memperkenalkan projek pembinaan perumahan baharu di Bertam, Pulau Pinang iaitu Setia Fontaines, pada hujung tahun ini.
-BERNAMA


