SHARE AND LIKE THIS POST

KAJANG: Pasaran hartanah dijangka stabil pada 2018, selepas mengalami tempoh mencabar dua tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Sr Nordin Daharom, berkata Pertumbuhan ekonomi yang kukuh, dasar monetari yang akomodatif serta insentif berterusan untuk sektor perumahan dijangka membantu mengekalkan momentum industri hartanah.

 

“Urus niaga meningkat dalam tempoh dua bulan pertama 2018 sebanyak empat peratus berbanding dua peratus bagi bulan sama tahun lalu.

 

“Ini menunjukkan pasaran semakin pulih berbanding tahun 2017,” katanya katanya pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Laporan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong.

Secara keseluruhan, sektor hartanah mencatatkan 311,824 transaksi bernilai RM139.84 bilion, turun sebanyak 2.7 peratus dalam jumlah dan 3.8 peratus dalam nilai berbanding 2016.

Hartanah kediaman terus menyokong sektor hartanah keseluruhan dengan penguasaan pasaran sebanyak 62.4 peratus, diikuti oleh harta pertanian pada 22.5 peratus.

Mengulas lanjut, Sr Nordin berkata, peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam Bajet 2018 bagi pembangunan lima koridor ekonomi utama dijangka memacu pasaran hartanah di sekitar kawasan berkenaan.

Lima koridor terbabit ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Koridor Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Sarawak Tenaga Diperbaharui (SCORE).

“Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi akan terus mampan pada 2018, disokong oleh permintaan domestik.

 

“Ia seiring dengan peningkatan dalam pertumbuhan global yang dijangka lebih cepat, memberi manfaat kepada eksport negara sekali gus memberi kesan kepada aktiviti domestik,” katanya.

Pada majlis itu, JPPH turut melancarkan Sistem Carian Hartanah Tidak Terjual Malaysia (UPESM) bagi membolehkan pengguna membuat carian maklumat hartanah tidak terjual mengikut kawasan, status jual beli hartanah dan jenis hartanah.

Comment

BERI MAKLUM BALAS