SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Pemaju perlu lebih berhati-hati dan mengambil kira banyak faktor terutama membabitkan keperluan pembeli sebelum membina sebarang projek pembangunan termasuk rumah mampu milik.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, ini kerana jika tidak mereka akan berdepan dengan masalah rumah-rumah tidak terjual yang pastinya merupakan mimpi ngeri kepada golongan pemaju dan dalam hal ini, UEM Sunrise juga tidak terkecuali.

Katanya, perkara itu diakui agak membimbangkan dengan sebahagian besar melibatkan rumah-rumah bagi projek UEM Sunrise di Johor, sekalipun masih dalam keadaan terka­wal dan semakin menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.

“Ini antara pengajaran yang boleh kami pelajari dalam Forum Urban Sedunia kali Kesembilan (WUF9) ini kerana banyak isu berkenaan rumah mampu milik dibincangkan dan dibangkitkan oleh negara-negara lain terutama apabila harga tanah semakin mahal di bandar, pemaju pilih buat rumah di kawasan yang jauh.

 

“Dengan mengambil contoh apa yang berlaku di Mexico mi­salnya, berjuta rumah mampu milik dibina di kawasan yang jauh dari bandar tetapi tiada siapa nak beli. Mereka sebaliknya lebih rela tinggal di kawasan padat dan sesak di bandar yang dekat dengan tempat kerja kerana mudah mendapat akses kepada kemudahan infrastruktur.

 

“Sehubungan itu, jika pemaju hanya mahu membangunkan projek tanpa pertimbangkan faktor lokasi, mereka akan berdepan dengan masalah rumah tidak terjual dan ini amat menyakitkan pemaju terutama kepada imbangan tunai syarikat,” katanya di sini baru-baru ini.

WUF9 diadakan kali pertama di Malaysia mulai 7 hingga 13 Februari lalu menyediakan platform untuk berkongsi pendapat me­ngenai kejayaan negara-negara lain di dunia dalam mengurangkan jurang rumah mampu milik.

Anwar Syahrin merupakan seorang daripada ahli panel dalam sesi perbincangan pada forum berkenaan menunjukkan usaha UEM Sunrise ke arah memupuk kehidupan mapan meliputi se­genap lapisan ma­syarakat.

Tahun lalu, kerajaan mendapati kediaman siap dibina yang tidak terjual meningkat 40 peratus kepada 20,807 buah dengan nilai RM12.26 bilion pada separuh pertama 2017 dengan kebanyakan kondominium dan pangsapuri berharga lebih RM500,000. Susulan itu, hartanah bernilai lebih RM1 juta dibekukan pada November lalu tetapi keputusan berhubung perkara itu masih lagi dalam perbincangan.

Mengenai perkara itu, beliau berkata, ketika isu tersebut timbul, UEM Sunrise baru sahaja melancarkan projek kediaman mewah, Solaris Parq tetapi ia tetap mendapat sambutan pembeli.

“Impaknya kepada kami mungkin ada tetapi sedikit. Bagi projek Solaris Parq ini misalnya, jadi tumpuan pembeli kerana kedudukan yang strategik, dekat dengan Publika, Masjid Wilayah dan Mahkamah Persekutuan serta mudah dapat pelbagai akses. Bagi kami, yang penting kena pastikan pasaran itu ada,” katanya.

Selain Solaris Parq, UEM Sunrise dijangka melancarkan per­umahan mampu milik berkonsepkan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip), Kiara Kasih pada Mac ini. Baru-baru ini, ia turut memperkenalkan projek baharu di Iskandar Malaysia dikenali sebagai Serimbun dengan nilai pemba­ngunan kasar (GDV) RM139.3 juta.

Menurut Anwar, walaupun UEM Sunrise mengunjurkan sasaran jualan antara RM1.2 bi­lion hingga RM1.5 bilion tahun ini seperti yang dicapai pada 2017, namun syarikat tetap berhati-hati terhadap prospek pasaran hartanah.

Katanya, dalam menangani ketidaktentuan pasaran, syarikat akan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan projek yang mampu memenuhi keperluan pembeli berbanding terlalu ghairah melancarkan projek baharu.

“Tetapi, kita tahu kediaman bertanah tetap mendapat permintaan tinggi cuma di Kuala Lumpur mesti kediaman bertingkat berbanding di Johor dan Se­langor. Masalahnya, kita ada bank tanah yang terhad di Selangor. Setakat ini, kita mempunyai 5,261 hektar bank tanah dengan sebahagian besar di Johor,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS