SHARE AND LIKE THIS POST

Kali ini saya terpanggil lagi untuk membuat sedikit komen dan ulasan tentang laman web terbaru yang menawarkan “direct-deal” antara penjual dan pembeli.  Laman web seperti ini menawarkan peluang di mana penjual boleh menyenaraikan hartanah yang ingin dijual dan berurusan terus dengan bakal-bakal pembeli tanpa melalui orang tengah.

Laman web yang menawarkan urusan terus dari penjual kepada pembeli untuk penjualan rumah atau hartanah bukanlah baharu.

Laman web seperti ini telah dibina oleh beribu orang sejak dahulu lagi.. di hampir setiap negara.. dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Di Malaysia sendiri beberapa laman web khusus untuk penjualan rumah terus kepada pembeli oleh pemilik telah banyak dibina dan tidak berjaya.. yang berjaya mungkin seperti mudah.my tetapi kebanyakan yang mengiklannya juga adalah ejen hartanah. Kini terdapat laman web terbaharu (yg saya tidak perlu namakannya) cuba utk melakukan perkara yang sama. Laman web seperti ini bertindak sebagai satu platform yg menawarkan pemilik mengiklankan hartanah mereka kepada pembeli. Berdasarkan FB mereka, jumlah LIKE masih di bawah 1000 dan saya berpendapat ia hanya dilancarkan pada bulan ini.

Apabila ditanya oleh pemilik, ejen hartanah dan orang-orang awam kepada saya.. apakah punca laman seperti ini tidak mendapat sambutan dan tidak berjaya? Dan apakah kelebihan dan kekurangannya? Berikut adalah pendapat saya:-

1.Bidang JualBeli sesuatu barang yang melibatkan jumlah yang besar memerlukan “personal touch” dan agak sukar serta berisiko untuk berurusan secara terus yang bermula dari atas talian. Di kedua-dua pihak pastinya akan mempunyai sedikit perasaan sangsi dan biasanya memerlukan orang ketiga yang berpengalaman untuk membantu. Anda pastinya tidak mahu wang anda berjumlah beribu-ribu ringgit diberikan kepada pihak tidak dikenali tanpa mendapatkan nasihat tertentu yang boleh anda percayai.

2.Bidang hartanah merupakan salah satu bidang yang agak teknikal. Sebagai penjual pastinya tidak mahu melayan soalan-soalan teknikal yang mungkin rumit dan tidak dapat anda jawab.. lebih-lebih lagi jika anda merupakan seorang yang sibuk. Sebagai pembeli pula, anda mahukan setiap perkara di selidik dengan terperinci dan memerlukan jawapan yang boleh dijawab oleh orang yang arif dan pakar dalam bidang tersebut dan bukan dijawab secara teragak-agak.

3.Penjual yang sibuk pastinya tidak mahu dihujani dengan panggilan telefon tanpa henti dari bakal pembeli… dan mungkin dari ejen hartanah yang ingin bertanya jika penjual berminat mendapatkan khidmat mereka jika mereka sudah memiliki pembeli. Jika anda seorang yang sentiasa sibuk di pejabat atau melayani klien, menjawab panggilan setiap masa berkaitan penjualan rumah bukanlah sesuatu yang anda mahu. Oleh itu elakkan dari mengiklankan no. telefon anda. Kadangkala atas sebab tertentu, rumah yang telah lama terjual masih lagi dihubungi oleh bakal pembeli yang menjumpai no. telefon anda ketika melakukan carian di internet.

4.Pembeli tidak mahu mengambil risiko membayar deposit kepada penjual. Jika pembelian melalui ejen hartanah, pembeli membuat pembayaran kepada ejen hartanah yang bertindak sebagai “stakeholder” atau pemegang amanah yang dibenarkan di bawah undang2 untuk mengambil wang deposit. Semua ejen hartanah BERDAFTAR mempunyai akaun bank khas khusus untuk pembayaran wang deposit oleh klien mereka.

5.Bantuan tambahan biasanya diberikan oleh ejen hartanah kepada pembeli dan juga penjual. Dalam keadaan tertentu penjual mungkin mahukan bantuan dari segi nasihat berkaitan pembaikan rumah sebelum penjualan untuk menaikkan nilai, lantikan peguam, proses pindahmilik dan sebagainya. Dari segi pembeli pula, mereka mungkin memerlukan bantuan dari segi mendapatkan pinjaman, nasihat mengenai kelayakan pinjaman, perlantikan peguam status proses pindahamilik dan lain-lain isu yang mungkin berkaitan. Biasanya, hampir setiap urusan jualbeli yang saya lakukan dengan klien memerlukan saya memberikan khidmat nasihat tambahan berkenaan perkara tersebut. Jika anda memilih untuk melakukan sendiri, terdapat kemungkinan anda akan hilang punca dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk pembelian.

6.Tiada kos kepada pembeli jika pembelian melalui ejen hartanah. Bercanggah dengan persepsi ramai, pembeli sebenarnya tidak membayar sebarang fee ejen hartanah apabila membeli melalui ejen hartanah. Deposit yang dibayar adalah sebahagian dari wang pembelian dan bukan fee ejen hartanah. Fee ejen hartanah biasanya dibayar oleh penjual yang merupakan klien kepada ejen hartanah tersebut. Oleh itu tiada sebab untuk tidak mengambil kelebihan tersebut dan membeli melalui ejen hartanah lebih memudahkan urusan anda dan lebih selamat dari berisiko kehilangan wang deposit.

Ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa laman web seperti ini tidak berjaya. Tidak dinafikan ada urusan penjualan boleh dilakukan sendiri namun sebagai pembeli mahupun penjual anda boleh melihat sendiri kelebihan pembelian melalui pihak ketiga yang berkelayakan seperti ejen hartanah berbanding secara terus. .

Yang penting, jangan membeli atau membuat bayaran kepada ejen atau perunding hartanah yang tidak berdaftar. Pastikan syarikat mereka berdaftar dengan Lembaga Penilai Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia dan semua bayaran sebaiknya melalui cek kepada akaun klien syarikat berkenaan.

Sumber :

Comment

BERI MAKLUM BALAS