SHARE AND LIKE THIS POST

Polis memberi amaran kepada orang awam supaya berhati-hati jika didatangi lelaki yang menawarkan penjualan rumah untuk projek baharu dan kemudian diminta membayar deposit kerana anda mungkin tertipu.

Menurut Polis daerah Klang Utara, sehingga kini polis sudah menerima lima aduan membabitkan lima mangsa penipuan lelaki terbabit yang membabitkan wang tunai ratusan ribu ringgit yang dibayar sebagai deposit pembelian hartanah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata mangsa terbabit membuat aduan terhadap lelaki berkenaan yang beralamat di Kampung Jawa. Katanya, polis masih memburu suspek yang berusia 37 tahun itu dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati. Beliau berkata mangsa terdiri daripada pelbagai latar pekerjaan termasuk golongan profesional.

Siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah memperkenalkan diri sebagai kontraktor, broker atau pemilik sesebuah projek. “Suspek menawarkan rumah untuk dijual atau projek baharu yang kononnya akan dijalankannya. “Mangsa yang berminat kemudian diminta menyerahkan wang sebagai deposit pembayaran sama ada secara tunai atau mendepositkannya ke akaun suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Selepas menerima deposit, suspek memberi pelbagai alasan kononnya projek itu belum selesai jika dipersoalkan mangsa. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan penipuan.

Bakal pembeli perlulah lebih berhati-hati dan boleh mengambil langkah awal sebelum membuat sebarang pembayaran deposit untuk membeli rumah.

Antara langkah yang boleh dilakukan adalah menyemak profil atau latar belakang individu berkenaan. Jika anda membuat bayaran kepada 2 pihak berkenaan, sila lakukan semakan terlebih dahulu:-
1- Ejen Hartanah – Semua ejen hartanah atau perunding hartanah berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia. Anda boleh membuat semakan nama atau syarikat berkenaan di laman web LPPEH di www.lppeh.gov.my

2- Pemaju Hartanah – Sekiranya anda membuat bayaran kepada pemaju, anda boleh menyemak status pemaju di laman web Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (www.kpkt.gov.my) atau terus klik di sini untuk pertanyaan terus kepada KPKT berkenaan status pemaju.

Comment

BERI MAKLUM BALAS