SHARE AND LIKE THIS POST

Pada masa ini lelongan hartanah menjadi semakin hangat berikutan bilangan hartanah yang dilelong semakin meningkat.

Ramai juga semakin berminat untuk membeli hartanah lelong kerana sesetengahnya dilelong pada harga lebih rendah dari nilai pasaran.

Tetapi sebelum anda membuat keputusan untuk membeli hartanah lelong, berikut adalah beberapa isu utama berkaitan hartanah lelong yang perlu anda ketahui:-

No.1 Tunggakan Bil & Cukai

Kebiasaannya bank yang melelong akan membayar tunggakan bil yuran pengurusan, cukai-cukai dan lain-lain tunggakan terhadap rumah lelong. Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian kadangkala terdapat bank atau sesetengah lelongan di mana sebahagian tunggakan perlu dibayar oleh pembeli.  Sekiranya anda perlu membayar sebahagian dari tunggakan bil, sila semak terlebih dahulu tunggakan semasa di pejabat berkaitan. Baca Syarat-syarat Jualan Lelong untuk mendapatkan kepastian.

Contoh tunggakan bil penyelenggaraan yang melampau tinggi.

No.2 Harga Rezab dan Nilai Pasaran

Adalah sangat penting untuk bakal pembida/penawar mengetahui adakah Harga Rezab menyamai Nilai Pasaran atau lebih rendah.  Untuk lelongan pertama, biasanya Harga Rezab ditetapkan pada Nilai Pasaran dan harganya akan berkurangan sebanyak 10% bagi setiap lelongan berikutnya.  Namun ini TIDAK SEMESTINYA berlaku terutamanya untuk lelongan Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah.  Ada kemungkinan harga rezab yang ditetapkan kembali kepada nilai pasaran walaupun ianya bukan lelongan pertama.  Jika anda membuat andaian sebaliknya (harga rezab lebih rendah dari nilai pasaran), maka anda berisiko membeli lebih tinggi dari nilai pasaran jika membida lebih tinggi dari nilai pasaran.  Pinjaman yang akan diberikan nanti akan berdasarkan Nilai Pasaran dan bukannya harga akhir yang anda beli di dalam Kontrak Jualan.

No.3 Deposit Hangus

Untuk pembelian lelongan, deposit yang telah anda bayar (biasanya 10%) akan ‘hangus’ sekiranya anda membatalkan pembelian atau gagal menyempurnakan pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan (90 hari / 120 hari) di dalam Syarat Jualan.  Oleh itu, untuk pembelian lelong, faktor masa adalah sangat kritikal melainkan terdapat faktor di luar kawalan yang membolehkan bank memberi kebenaran lanjutan masa seperti perlu mendapatkan kebenaran Pihak Berkusa Negeri untuk masalah tertentu dan sebagainya.   Walau bagaimanapun, jika anda tidak dapat untuk mematuhi tempoh berkenaan, sila buat rayuan kepada bank untuk tempoh lanjutan. Lanjutan tertakluk kepada budi bicara dan faktor kelewatan.

No.4 Pastikan Pinjaman Tiada Masalah

Jika anda bercadang untuk mendapatkan pinjaman untuk pembelian, pastikan anda telah menyemak kelayakan mendapatkan pinjaman sebelum memasuki lelongan.  Ini kerana jika anda gagal untuk mendapatkan pinjaman maka deposit yang telah dibayar akan ‘hangus’ dan tidak dikembalikan.

No.5 Adakah sesiapa mendiami rumah tersebut

Perkara ini perlu diketahui kerana ia boleh menjadi masalah lebih rumit selepas pembelian.  Sila lawat periksa rumah sebelum membida.  Jika terdapat tanda-tanda rumah didiami seseorang, cuba untuk bertanya dan pastikan sama ada mereka adalah pemilik atau penyewa.  Tanya juga sama ada mereka mengetahui rumah berkenaan akan dilelong dan sama ada mereka bersedia untuk keluar atau sebaliknya jika telah dilelong.  Ada sesetengah pemilik yang mungkin tidak memberikan kerjasama atau kelihatan agresif.  Jika demikian, cuba elakkan untuk membida hartanah sebegini kerana ia mungkin mengambil masa yang panjang dan tambahan kos untuk mendapatkan perintah mahkamah melainkan tidak menjadi masalah kepada anda.

Pembelian hartanah lelong memang biasanya sinonim dengan pelbagai masalah, namun jika anda mengetahui masalah-masalah yang mungkin terlibat dan mengetahui penyelesaiannya maka tiada masalah untuk meneruskan pembelian.

5 perkara di atas merupakan antara isu utama yang biasa menjadi permasalahan kepada pembeli.  Antara perkara lain yang perlu juga anda ketahui ialah sama ada pemaju masih wujud atau bankrap dan sama ada hartanah berkenaan adalah bumiputera atau rezab melayu jika penawar/pembida bukan bumi/melayu.

Selamat Membida!

Comment

BERI MAKLUM BALAS