KUALA LUMPUR 13 Feb. – Kira-kira 60 peratus penerima projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang sukar mendapat kelulusan pinjaman bank kini boleh menarik nafas lega apabila Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) diperkenalkan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, kesukaran mendapat kelulusan pinjaman bank menjadi faktor utama golongan pertengahan di negara ini tidak dapat membeli rumah impian biarpun mendapat tawaran pembelian.
“Menerusi SPEF, pendaftar PR1MA boleh memiliki rumah melalui proses yang lebih mudah terutamanya kepada pembeli rumah pertama kerana mereka mempunyai peluang untuk mendapatkan pinjaman dan akses yang lebih tinggi berbanding pinjaman konvensional, selain membayar ansuran bulanan yang rendah.
“Skim ini merupakan kerjasama antara PR1MA dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan empat bank tempatan iaitu Maybank, CIMB, RHB dan Ambank,” katanya dalam sidang akhbar mengenai SPEF di sini hari ini.
Jelas Abdul Mutalib, SPEF menawarkan dua cara pembiayaan iaitu secara berperingkat atau ‘step-up’ dan dengan pengeluaran Akaun 2 KWSP bagi mendapatkan jumlah pinjaman bank yang lebih tinggi.
“Berdasarkan pembiayaan tersebut, pembeli hanya membayar jumlah faedah dalam tempoh lima tahun pertama dan pembayaran bagi jumlah asas atau ‘prinsipal’ dibuat bermula tahun keenam sehingga jumlah keseluruhan pinjaman selesai dibayar.
“Pilihan ‘step-up’ berserta pengeluaran Akaun 2 KWSP pula membolehkan pembeli rumah PR1MA memperoleh akses kepada jumlah pinjaman yang lebih tinggi,” ujarnya.
Katanya, SPEF disasarkan kepada golongan pertengahan berikutan terdapat banyak peluang lain dibuka untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) oleh kerajaan.
Tambah beliau, PR1MA juga meletakkan sasaran untuk menyiapkan sebanyak 15,000 unit rumah pada tahun ini dengan jumlah 4,500 unit berjaya disiapkan pada 2016. Setakat Januari 2017, sejumlah 260,188 unit kediaman sudah diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA dan sebanyak 132,352 unit pula dalam proses pembinaan.
Sehingga hari ini, sebanyak 1,377,639 orang sudah mendaftar untuk membeli rumah PR1MA yang menawarkan kediaman pada harga RM300,000 ke bawah di seluruh negara.