Zaman ayah-ayah kita dulu harga rumah pun sebenarnya mahal. Bayangkan harga rumah RM30k tapi gaji RM300 sahaja. Tetapi bezanya dari segi kos sara hidup. Sekarang harga rumah biasanya sampai harga RM300k dan ke atas bagi area Johor, tapi gaji RM3000 pun tidak mampu. Bayangkan harga rumah di masa hadapan, macam mana agaknya. Oleh itu, pihak kerajaan mesti mewujudkan satu sistem bagi mengatasi krisis perumahan yang boleh menguntungkan pihak pembeli dan juga penjual.
SHAH ALAM – Generasi akan datang boleh menjadi ‘homeless’ atau tidak berumah pada masa hadapan.

Exco Pemuda Amanah Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Ammar Atan berkata, faktor itu boleh berlaku sekiranya krisis perumahan tidak diselesaikan sekarang.
“Melihat rumah merupakan keperluan asas atau dhoruriyyat dalam kehidupan manusia sejajar konsep maqasid syari’ah. Justeru, adakah rumah di Malaysia mampu milik selari dengan purata pendapatan rakyat di Malaysia?
“Faktor penawaran perumahan mampu milik yang rendah, harga rumah mahal tidak terkawal, serta pendapatan rakyat dan bebanan yang terus meningkat secara langsung memerangkap rakyat terbanyak dan bakal menjadikan generasi ‘home-less’ akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, perumahan di Malaysia berada di luar kemampuan pendapatan rakyat iaitu 4.4 kali ganda (sumber Demographia) berbanding pendapatan median rakyat RM4,585 kebawah. Terengganu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah adalah antara negeri yang sangat kritikal ketidakmampuan rakyatnya untuk memiliki rumah.
Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), sebuah institusi pro-pemaju menyatakan industri hartanah bagi setengah tahun 2016 menunjukkan perumahan yang dibina dibawah RM200 ribu hanya sekitar 14 peratus sahaja dari keseluruhan unit perumahan yang ditawarkan.
Manakala perumahan yang berharga RM300 ribu ke atas mendominasi pasaran perumahan iaitu lebih daripada 50 peratus.
Berdasarkan Laporan Bank Negara tahun 2015, harga rumah RM165,060 dikategorikan sebagai mampu milik.
“Majoriti rakyat di negara ini berpendapatan RM4,585 kebawah, maka rumah mampu milik adalah antara RM165,060 dan RM242,000.
“Malangnya, hanya 21 peratus sahaja rumah mampu milik yang dibina, lebihan penawaran adalah bagi hartanah bernilai RM500,000 ke atas,” katanya lagi.