Antara pengumuman yang menarik berkaitan isu perumahan yang diumumkan dalam Bajet 2017 adalah skim Pembiayaan Akhir (“End Financing“) tambahan khas atau kini dikenali juga sebagai Skim Pembiayaan Akhir “Step-up”.
Seperti sebelum ini, skim baru yang diperkenalkan akan diperhalusi lanjut oleh pihak berkenaan dalam kes ini ianya adalah di antara PR1MA, Bank Negara Malaysia, KWSP dan beberapa bank tempatan (Maybank, CIMB, RHB dan Ambank) .
Tidak jelas bagaimana ianya akan dilaksanakan kelak tetapi secara kasarnya, skim ini akan membolehkan pembeli rumah di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang tidak layak mendapatkan pinjaman tinggi daripada bank boleh memohon pembiayaan tambahan sehingga 90%-100% daripada harga pembelian rumah PR1MA.
Sebagai contoh, jika sebelum ini pembeli yang mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan hanya layak memohon pinjaman sekitar RM187,000, dengan adanya kemudahan pembiayaan akhir khas ini, pembeli akan layak mendapatkan pinjaman sehingga RM295,000.
Skim ini diperkenalkan berikutan ramai pemohon yang layak untuk membeli unit rumah PR1MA terpaksa menolak tawaran disebabkan gagal mendapatkan margin pinjaman tinggi daripada bank, contohnya margin pinjaman hanya sehingga 80% dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar perbezaan pembiayaan dan harga belian.
Walau bagaimanapun skim ini hanya dikhaskan untuk pembelian rumah di bawah projek PR1MA sahaja.

Kenyataan awal juga menyatakan secara amnya proses yang mungkin terlibat adalah pembiayaan tambahan adalah daripada akaun KWSP pembeli dan juga dari pembiayaan step-up daripada bank-bank berkenaan. Jika pemohon memilih untuk skim ini, pengeluaran untuk tujuan lain seperti pendaftaran haji, kesihatan, pelajaran dan sebagainya melalui akaun 2 KWSP tidak akan dibenarkan sehingga jumlah pembiayaan tambahan yang dikeluarkan dari KWSP digantikan semula melalui caruman baru KWSP pembeli berkenaan.
Pembeli rumah PR1MA yang telah terpilih boleh mula memohon untuk skim ini dan keputusan akan diumumkan bermula pada Januari 2017.