
TEMPAT tinggal merupakan keperluan paling asas bagi semua manusia untuk berlindung daripada cuaca dan pelbagai keadaan lain.
Pada zaman dahulu, manusia mungkin tinggal di dalam gua kerana tidak mempunyai ilmu untuk membina rumah.
Dengan peredaran zaman yang begitu pantas, manusia kini mampu membina kediaman di mana sahaja dengan pelbagai reka bentuk menarik.
Bagaimanapun, kebanyakan penduduk dunia hari ini boleh dikatakan tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri kerana harga rumah yang ditawarkan agak mahal.
Seakan sudah menjadi trend bagi syarikat pemaju yang dilihat lebih memilih untuk membina struktur kediaman yang hanya mampu dimiliki oleh mereka yang bergaji tinggi.
Hal ini menyebabkan ada individu atau keluarga yang terpaksa tidur di kawasan terbuka seperti di kaki lima mahupun di bawah jambatan.
Senario ini amat membimbangkan terutama sekali bagi mereka yang baru mula bekerja dan individu berpendapatan rendah.
Melihat situasi ini, sudah tiba masanya bagi kerajaan pelbagai negara untuk masuk campur dalam urusan industri perumahan bagi memastikan kesemua rakyatnya mampu memiliki tempat kediaman dengan harga yang munasabah.
Harga rumah naik lebih 100 peratus
Sebagai salah sebuah negara maju, tidak bermakna Amerika Syarikat (AS) tidak mengalami masalah tersebut.
Kebanyakan rakyatnya turut merasai kesan kenaikan harga rumah yang kian meningkat secara mendadak.
Dalam satu kajian Yayasan MacArthur, jualan rumah di negara itu turun sebanyak enam peratus sejak tahun 2005 sehinggalah pada tahun lalu.
Kajian sama turut menyebut, pemilikan rumah bagi golongan belia berumur antara 18 hingga 34 tahun telah menunjukkan penurunan sebanyak 7.3 peratus dalam tempoh sama.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana kajian membuktikan golongan pertengahan kini tidak mampu untuk membeli rumah sendiri.
Tiada pilihan lain, mereka terpaksa menyewa rumah untuk mendapatkan tempat perlindungan bagi meneruskan kehidupan seharian.
Ia kerana, harga rumah di AS meningkat lebih 100 peratus atau ASD237,000 (RM924,000) sejak 35 tahun lalu, iaitu dari tahun 1980 sehingga pada tahun lalu.
Dalam satu kaji selidik lain oleh Universiti Harvard pada tahun 2013 menunjukkan peningkatan jumlah penyewa sebanyak sejuta orang.
Apa yang menyedihkan adalah, seramai 2.5 juta penyewa membelanjakan 50 peratus daripada pendapatan mereka hanya untuk membayar sewa.
Sehubungan itu, rakyat AS telah mendesak kerajaan untuk melakukan sesuatu bagi mengawal harga rumah di negara berkenaan.
Kerajaan melalui Pejabat Akauntabiliti Kerajaan (GAO) sedang berusaha bagi mengatasi masalah ini daripada pelbagai aspek.
Pembelian aset menurun di Britain
Seperti AS, Britain turut mempunyai masalah sebegini.
Kini, rakyat negara tersebut tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri kerana harga rumah yang semakin mahal.
Menerusi laporan dikeluarkan English House Survey menunjukkan peratus rakyat Britain berusia lingkungan 25 hingga 34 tahun yang mampu membeli rumah menurun sebanyak 30 peratus, daripada tahun 2003 hingga 2014.
Kini, purata harga rumah di negara tersebut adalah 200,000 pound (RM1.14 juta).
Walaupun purata pendapatan bulanan rakyat Britain adalah 26,500 pound (RM151,300) setahun, namun tidak semua rakyatnya memperoleh gaji sedemikian.
Ada individu miskin yang tidur di tepi jalan kerana tidak mampu untuk membeli ataupun menyewa rumah dan jumlah golongan itu semakin bertambah setiap tahun.
Di samping menangani kenaikan harga rumah, pada masa yang sama, kerajaan negara itu perlu memikirkan bagaimana untuk membina tempat kediaman baharu memandangkan jumlah penduduknya yang semakin bertambah.
Mengikut kajian, sebanyak 240,000 kediaman baharu perlu dibina setiap tahun untuk menampung penduduk Britain. Walau bagaimanapun, pada dua tahun lalu hanya 120,000 kediaman sahaja yang dibina oleh pihak swasta dan juga kerajaan.
Melihat situasi ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah bagi mengatasi masalah berkenaan.
Salah satu inisiatif yang diperkenalkan adalah memberi diskaun dari segi pinjaman bank kepada mereka ingin membeli rumah buat kali pertama.
Sewa kediaman tinggi di Kanada
Di Kanada pula, pembinaan rumah mewah secara berlebihan menjadi satu masalah di negara ini.
Ia sekali gus menyebabkan rakyat mendesak kerajaan untuk membina rumah mampu milik.
Menurut statistik perumahan negara itu, secara purata harga rumah telah meningkat sebanyak 17 peratus daripada tahun lalu dan tahun ini.
Purata harga rumah di ibu negara, Ottawa pada tahun lalu adalah 383,000 Kanada Dolar (RM1.2 juta).
Vancouver mencatatkan purata tahun lalu iaitu bernilai 922,000 Kanada Dolar (RM2.9 juta).
Selain pembelian kediaman, harga sewa kediaman di negara itu juga sangat tinggi.
Pada tahun 2013, purata kadar sewa kondominium untuk sebulan di Toronto adalah 1,743 Kanada Dolar (RM5,433).
Lebih parah lagi, pada tahun 2008, kerajaan telah mengurangkan tempoh pinjaman bank bagi pembelian rumah kepada 25 tahun.
Hal ini menyebabkan pembelian kediaman di kalangan rakyatnya telah berkurang sebanyak 10 peratus pada setiap tahun.
Lapan kali lebih tinggi daripada pendapatan rakyat
New Zeland dikategorikan sebagai negara yang paling kurang membina rumah mampu milik kepada rakyatnya.
Kajian menunjukkan bahawa bandar Auckland menduduki tempat tercorot dari segi pembinaan rumah mampu milik.
Ini kerana, harga rumah di negara berkenaan adalah enam kali ganda lebih tinggi daripada kemampuan rakyatnya untuk membeli kawasan kediaman.
Purata harga rumah adalah 560,000 New Zealand Dolar (RM1.5 juta) sedangkan purata gaji rakyatnya untuk setahun adalah 45,000 New Zealand Dolar (RM123,000).
Banyak rumah di negara tersebut kosong dan terbiar, meskipun kediaman itu tampak baharu.
Krisis harga rumah berlaku selepas krisis kegawatan ekonomi dunia pada tahun 2008.
Selain harga rumah, kerajaan negara itu turut mengetatkan syarat peminjaman bank untuk membeli rumah.
Sebahagian besar rakyat New Zealand tinggal di mana sahaja seperti garaj, karavan dan lain-lain lagi.
Melihat keadaan itu, baru-baru ini, kerajaan berjanji untuk membina rumah mampu milik dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Kerajaan turut menasihatkan rakyatnya supaya cuba membeli kediaman di kawasan luar bandar yang mempunyai harga lebih murah.
Singapura kawal harga rumah
Sebelum tahun 2011, harga rumah di Singapura sangat mahal iaitu mencecah 1.5 juta Singapura Dolar (RM4.3 juta) bagi sebuah kondominium.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berjanji akan mencari jalan untuk mengatasi masalah itu sekiranya parti pimpinannya dipilih untuk mentadbir kerajaan.
Melihat janji Hsien Loong, rakyat Singapura memilih partinya untuk memenangi pilihan raya pada tahun 2011.
Sebaik sahaja diangkat menjadi Perdana Menteri, Hsien Loong mengotakan janjinya.
Beliau telah melakukan pelbagai usaha supaya rakyat Singapura mampu memiliki kediaman sendiri.
Ia termasuk inisiatif kerajaan untuk membina 10,000 rumah pangsapuri dalam tempoh lima tahun.
Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura adalah pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membina bangunan kediaman rakyatnya.
Sejak tahun 2011, kerajaan telah menurunkan harga pangsapuri dan apartmen kepada harga mampu milik.
Menurut kajian pakar hartanah, harga kediaman di negara itu dijangka turun enam peratus pada tahun ini.
Ia secara tidak langsung membuktikan kerajaan sesebuah negara mampu membantu rakyat memiliki kediaman sendiri dengan cara mengawal harga rumah.
Sumber : Sinar Harian