Forest City, perbandaran moden di atas pulau buatan di Iskandar Malaysia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengumumkan status Forest City sebagai zon bebas cukai keempat di negara ini.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian insentif cukai kepada pemaju dan pengurus pemaju hijau serta galakan cukai korporat kepada sektor Pelancongan dan Mesyuarat Insentif Konvensyen dan Pameran (MICE), pendidikan dan penjagaan kesihatan dan tiada kekangan syarat ekuiti kepada syarikat asing di Forest City.

Projek Pembangunan Forest City yang dibina di empat pulau buatan manusia seluas 1,386 hektar (3,424 ekar) itu bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang tahun 2035. Ia dimajukan Country Garden Holdings Co Ltd, yang berpangkalan di Guangdong, China dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd dengan pelaburan lebih RM450 bilion dalam tempoh 20 tahun dan merupakan projek terbesar pemaju itu di luar China.

Setakat ini tidak banyak maklumat lain yang diperolehi berkenaan Forest City namun ianya lebih tertumpu kepada menarik pelaburan. Walau bagaimanapun, maklumat setakat ini yang diketahui berkenaan fasa pertama adalah pembinaan hub pengangkutan, marina, pusat persidangan antarabangsa, pusat komersil dan peruncitan dan hospital ‘premium’.
Perancangan seterusnya adalah termasuk pembinaan landskap berskala besar merangkumi taman dan sistem ‘water front’.. tambahan kepada sistem taman ‘rooftop’, paya bakau dan ‘koridor hijau’ yang pastinya unik dan menarik. Pembangunan ini juga akan merangkumi laluan pengangkutan rel berhalaju tinggi dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Apa yang menarik, Forest City juga dikatakan akan mempunyai beberapa teknologi mapan seperti “bumbung hijau” terbesar dunia, sistem pengumpulan air hujan, penapisan banjir kilat dan juga tenaga solar – walau pun tidak jelas bagaimana ia akan diintegarasi didalam projek ini pada peringkat awal pembinaan nanti.
Walau apa pun, pastinya projek Forest City akan memberikan suatu kelainan dari perspektif kediaman, tempat tinggal, bekerja dan lain-lain yang tidak terdapat di mana-mana bandar lain di Malaysia mahupun di kebanyakan negara asia lain.