JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan mengenakan kadar cukai baharu yang lebih tinggi kepada kira-kira 130,000 pegangan asing yang memiliki hartanah di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata kadar cukai baharu yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu berbeza dengan kadar yang dikenakan kepada penduduk tempatan.
“Sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi perhatian kepada pegangan asing di negeri ini kerana rakyat kita di negara luar juga dikenakan kadar cukai yang berbeza. Jadi saya rasa untuk permulaannya kita kenakan kadar berbeza bagi cukai harta,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Zon Permas, di sini hari ini.
Katanya, usaha itu juga bertujuan meningkatkan hasil dan mengukuhkan pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor serta meningkatkan tahap perkhidmatan kepada penduduk.
Mohamed Khaled yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Permas berkata, beliau yakin rakyat Johor akan bersetuju dengan keputusan tersebut kerana ia akan memberi keuntungan kepada mereka manakala warga asing pula perlu belajar bersyukur kerana memiliki harta di negeri ini. – Bernama