SHARE AND LIKE THIS POST

Posting ni adalah sambungan kepada posting saya terdahulu mengenai auction yang saya hadiri di Penang pada hari semalam.  Memang sambutan yang amat hebat… mengikut apa yang dimaklumkan oleh auctioneer, bilangan bidders yang mendaftar adalah melebihi 200 orang. Bilangan property pula adalah 48 dan hanya 24 sahaja yang mempunyai bidder.  Terdapat 2 properties yang mana registered bidder adalah seramai lebih 40 orang dan beberapa lagi yang mempunyai lebih daripada 20 orang.  Hebat kan?.. Ini semua adalah disebabkan harga rezab yang ternyata amat rendah.

Ada satu property yang mula dibida pada harga rezab RM155K dan akhirnya dilelong sehingga RM245K dan satu lagi rumah bermula pada RM30K dan dilelong akhirnya pada harga RM75K. Memang sungguh live and happening auction pada masa tu apabila mereka yang berada di dalam dewan memberi tepukan ‘sokongan’ kepada 2 pembida terakhir yang ‘berlawan’ untuk memenangi hartanah tersebut.  Dalam pada itu, apa yang menarik perhatian saya adalah bagaimana taktik sindiket yang boleh saya katakan tersusun dan agak rapi dalam mencapai objektf mereka.  Saya lihat juga bagaimana mereka ‘menggunakan’ 13 orang suruhan (tak tahu dimana mereka pungut orang-orang ini) untuk membuat bidaan bagi mendapatkan sebuah hartanah bumiputera.  Cuba bayangkan daripada 13 orang ‘bidders suruhan’ ini akhirnya hanya satu orang sahaja yang membuat bidaan pada harga RM1K  lebih tinggi (peingkatan pertama) dengan yang lainnya tersenyum menantikan bidaan itu ditutup.  Mereka ini saya lihat semuanya mengikut arahan kumpulan sindiket berkenaan dan seorang perempuan muda yang ‘memenangi’ bidaan tersebut bertanya kepada sindiket tersebut sama ada semuanya telah selesai (tanpa menyedari perbualan mereka didengari dan diperhatikan saya). Saya tidak tahu berapa ‘duit percuma’ yang mereka perolehi tetapi saya merasakan diantara RM100 – 200 seorang.  Apakah taktik disebalik cara pertama ini?

Sebenarnya taktik sindiket ini adalah mendapatkan hartanah berkenaan pada harga serendah mungkin.  Hartanah berkenaan yang merupakan sebuat apartment berharga dalam lingkungan harga RM120K dan harga rezab adalah RM85K.  Mereka berjaya memenanginya dengan RM86K.  Jika mereka sudah mempunyai orang yang sanggup membeli pada harga RM120K bermakna mereka akan dapat memperolehi RM34K dan jika ditolak kos upah ‘orang suruhan’ pada harga RM200 seorang (RM3,600) maka mereka masih ada lagi untung sebanyak lebih kurang RM30K.  Apa kaitan dan logik mereka ada ramai ‘bidder suruhan’ ni?  Sebenarnya matlamat utama mereka adalah untuk menunjukkan kepada ‘genuine bidder’ bahawa ramai orang yang sudah berminat dengan property berkenaan dan jika bidder sebenar ini masih mahukan property tersebut maka mereka mungkin terpaksa membayar pada harga yang mahal.  Ini seterusnya membuatkan bidder sebenar ini tidak jadi untuk menyertai bidaan tersebut dan akhirnya hanya meninggalkan sindiket tersebut tanpa cabaran.

Bagaimana jika masih ada bidder sebenar yang mendaftar?

Ya, sebenarnya masih ada bidder sebenar yang mahukan sesebuah property dan tidak peduli dengan berapa bilangan bidder yang sudah mendaftar atau memang tidak tahu bilangan tersebut.  Memandangkan sindiket ini sangat licik dan berpengalaman, mereka juga mempunyai cara tersendiri dalam menangani orang sebegini. Bagaimana?  Pertama, dengan kerapkali menghampiri bidder ini dan meneruskan pujukan untuk mereka menarik diri dan menawarkan sejumlah wang.  Jika masih tidak berjaya, mereka akan memulakan strategi lanjut yang agak kasar sedikit iaitu dengan mengugut bahawa mereka akan membida terus pada harga tinggi supaya bidder ini tidak akan dapat property berkenaan atau terpaksa membida lebih tinggi untuk mendapatkan property berkenaan (biasanya mereka telah mula bersembang-sembang sebelum itu dengan baik untuk mengetahui hartanah yang ingin anda bida dan harga yang mungkin anda inginkan).

Bagaimana jika ini juga masih tidak berjaya?

Ini antara apa yang berlaku pada hari semalam…. ketika seorang serious bidder hampir-hampir berjaya untuk menandingi harga yang ditawarkan oleh salah seorang yang saya percaya ahli sindiket berkenaan, datang seorang wanita berusia (mungkin salah seorang ketua mereka berdasarkan gerak geri beliau sejak awal) menghampiri bidder berkenaan dan bercakap sesuatu. Saya melihat tangan bidder berkenaan sudahpun sebahagiannya mengangkat pad bidaan tetapi apabila beliau mula melayan wanita tersebut pelelong akhirnya mengira sehingga 3 kali tawaran dan lelongan berkenaan ditutup.  Ini adalah satu cara yang saya fikir sebagai cubaan mengalih perhatian.  Walaupun sebelum itu saya lihat ada ahli sindiket berkenaan duduk disebelah bidder tersebut, mungkin disebabkan kurang berjaya menghalang beliau terus membuat bidaan maka ‘ketua’ mereka datang untuk menambahkan lagi gangguan.

Inilah sebahagian daripada kerja-kerja sindiket di lelongan yang anda harus berhati-hati.  Walaupun saya telahpun mengingatkan dalam posting-posting saya terdahulu sebelum ini, saya agak geram apabila melihatkan mereka yang benar-bernar serius dan pertama kali datang untuk lelongan ‘dipermainkan’ dan diganggu oleh sindiket ini.  Kerana itulah sekali lagi saya ingatkan kepada yang tidak berpengalaman tentang lelongan supaya jangan berbual dengan orang yang tidak anda kenali sebelum lelongan mengenai hartanah yang ingin dibida dan sebaiknya duduk dibarisan hadapan.  Jika masih kurang yakin anda boleh dapatkan khidmat TipsHartanah untuk menguruskan bidaan untuk anda.

Pada masa akan datang, saya mendengar bahawa kemungkinan bidder yang register tetapi tidak membuat bidaan akan dikenakan penalti. Bagi saya ini amatlah baik dan boleh mengurangkan masalah-masalah seperti di atas di mana mereka yang mendaftar dan tidak membuar bidaan boleh mendapatkan semula deposit penuh mereka tanpa caj.

Comment

1 komen

  1. Situasi ni sentiasa berlaku dalam proses lelongan..di Terengganu juga terdapat golongan2 ini. Kehadiran mereka di dewan lelongan semata-mata utk mendapat wang saguhati dr serius bidder..biasanya diorg dipanggil ‘ulat lelong’, kerjanya hanya utk menaikkan harga harta bidaan dan memaksa serius buyer membayar sedikit wang utk mereka bg melepaskan hartanah tersebut.

BERI MAKLUM BALAS