SHARE AND LIKE THIS POST

Pada masa ini kebarangkalian untuk anda membeli rumah melalui ejen hartanah adalah tinggi terutamanya jika anda tinggal di Bandar-bandar seperti Lembah kelang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Pembelian dari ejen hartanah biasanya adalah mudah kerana kebanyakannya akan diterangkan dengan jelas oleh ejen berkenaan dan lebih teratur.  Walau bagaimanapun, adalah lebih baik untuk anda ketahui beberapa tips sekiranya anda ingin membeli rumah melalui Ejen Hartanah.

 

TIP 1: Buat carian hartanah. Paling mudah ialah.. menggunakan internet. “Pakcik” Google bagi saya memberikan hasil carian yang paling baik.

 

TIP 2: Jika iklan jualan tersebut diiklankan oleh ejen hartanah, anda seharusnya dapat melihat No. Pendaftaran Perunding Hartanah atau dikenali sebagai Nombor Real Estate Negotiator (REN), contohnya REN No. 12345.

 

TIP 3: Hubungi Ejen Hartanah berkenaan sekiranya anda berminat dengan hartanah yang diiklankan.  Tanyakan beberapa soalan asas.  Antaranya.. 1) Saiz Tanah dan/atau saiz bangunan 2) Lokasi – alamat rumah atau jalan, kadangkala ejen tidak akan memberi alamat jika anda tidak membuat ‘appointment’. 3) Harga – adakah boleh dirunding lagi.

 

TIP 4: Jika anda berpuashati dengan maklumat asas tersebut, buat temujanji untuk melihat rumah.  Cuba elakkan membuat temujanji pada waktu puncak, cthnya pada waktu balik kerja, dsbnya. Namun tidak mengapa jika hartanah tersebut di dalam laluan anda pulang ke rumah dari tempat kerja.

 

TIP 5: Jika anda membuat temujanji lebih dari 1 hari dari tarikh anda hubungi ejen, sila hubungi semula ejen hartanah sekurang-kurangnya 2 jam sebelum temujanji anda untuk pengesahan semula.  Jangan terkejut jika ada ejen hartanah yang mungkin terlupa mereka ada temujanji dengan anda..

 

TIP 6: Pastikan anda tepati waktu temujanji walaupun anda adalah prospek atau bakal pembeli!..

 

TIP 7: Bawa kamera dan air mineral atau sebarang air minuman.. 🙂 … memandangkan pada zaman ini semua handphone sudah mempunyai kamera, maka anda tidak perlu risau tentang itu.. cuma mungkin risau tentang memory hp anda sama ada masih boleh mengambil gambar yang banyak.  Air minuman penting, kalau-kalau anda pergi pada waktu yang terik dan tiada kedai di sekitar kawasan tersebut serta tersangkut di dalam kesesakan atau mungkin sesat jalan…

 

TIP 8: Minta ejen menghantar lokasi hartanah atau tempat perjumpaan sama ada dengan menggunakan aplikasi Whatsapp, Waze atau Google Map.
Foto Kredit: MIEA
Contoh Tag REN. Foto Kredit MIEA.

 

TIP 9: Minta kad bisnes ejen berkenaan dan perhatikan tag REN (dinyatakan dalam Tip 2). Ia seharusnya menunjukkan nama ejen hartanah dan nama syarikat yang sepadan. Jika anda pergi sendirian, sila berikan maklumat ejen tersebut kepada orang yang anda kenali. Cthnya suami/isteri, rakan sekerja, dsb.

 

TIP 10: Lakukan lawatperiksa rumah atau hartanah tersebut bersama. Tanya soalan berkaitan rumah berkenaan (Boleh baca di sini)..

 

TIP 11: Sekiranya anda berpuashati dengan rumah berkenaan, sila minta tempoh, cthnya 1-2 hari untuk kembali kepada ejen tersebut mengenai keputusan anda. Jangan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk membeli rumah. Berbincang dengan orang terdekat spt suami/isteri sebelum membuat keputusan.

 

TIP 12: Semak anggaran harga pasaran rumah berkenaan dengan menghubungi bank (yang mungkin anda biasa berurusan atau berhampiran anda). Sebaiknya hubungi penilai jika anda mengetahui mana-mana firma penilaian.

 

TIP 13: Jika harga yang dijual adalah berpatutan dan tidak melebihi anggaran harga pasaran, bolehlah anda menghubungi ejen berkenaan untuk memaklumkan keputusan anda.

 

TIP 14: Lakukan rundingan harga. Tiada masalah untuk berunding walaupun anda tahu harga tersebut di dalam lingkungan harga pasaran. Jika terdapat mana-mana kekurangan mengenai rumah tersebut, cthnya, kebocoran, dsbnya, minta ianya dibaiki atau mohon pengurangan harga yang sepadan.

 

TIP 15: Bayar Deposit Pendahuluan sebanyak 3% (atau 2%) dan tandatangan borang tawaran pembelian (disediakan oleh ejen) sebagai tawaran untuk membeli rumah berkenaan pada harga yang dipersetujui. Sila masukkan klaus pemulangan Deposit sekiranya pinjaman gagal untuk mengelakkan deposit anda dari hangus. Sebaiknya bayaran menggunakan cek. Jika tiada cek peribadi, dapatkan Cek Jurubank (Banker’s Cheque) dari bank. Bayaran cek hendaklah dibuat atas nama syarikat dan bukannya individu.

 

TIP 16: Mohon pinjaman dari beberapa bank serentak – disyorkan 2-3 bank supaya anda boleh pertimbangkan tawaran pinjaman apabila diluluskan. Kadangkala ada kemungkinan hanya 1 bank yang meluluskan pinjaman daripada beberapa permohonan anda.

 

TIP 17: Jika permohonan pinjaman gagal, buat rayuan atas sebab pinjaman tersebut ditolak. Dalam keadaan tertentu, bank mungkin pertimbangkan alasan anda untuk kelulusan. Berikan kerjasama jika bank meminta anda dokumen tambahan untuk pertimbangan lanjut. Jika masih gagal, hubungi ejen untuk memaklumkan dan mohon pemulangan semula deposit awal yang telah dibayar.

 

TIP 18: Jika pinjaman diluluskan, lantik Peguam untuk menyediakan Dokumen Perjanjian Jual Beli (SPA). Anda dan penjual seharusnya menandatangani SPA dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan tawaran pembelian.

 

TIP 19: Mohon pengeluaran dari KWSP jika anda bercadang berbuat demikian.  Pengeluaran wang untuk pembelian rumah adalah dari Akaun 2 KWSP (Sedikit penerangan tentang pengeluaran Akaun 2 ada DI SINI).

 

TIP 20: Urusan seterusnya akan diuruskan oleh peguam yang anda lantik sehingga proses jual beli selesai. Namun begitu jangan hanya menunggu peguam anda memberikan ‘update’ tetapi selalulah berhubung dengan mereka supaya anda tahu perkembangan dan status pindahmilik tersebut.  Jika tiada masalah, biasanya pindahmilik mengambil masa diantara 3-6 bulan.

 

Panduan dan tips di atas merupakan panduan ringkas yang boleh anda gunakan. Dalam sesetengah keadaan ianya mungkin tidak mengikut aturan dan juga memerlukan pertimbangan lain. Anda juga mungkin memerlukan tindakan tambahan dari apa yang dinyatakan di atas.

 

Jika anda mempunyai pertanyaan lain atau mengalami masalah dalam urusan pembelian, sila ajukan pertanyaan anda di sini..

Comment

1 komen

BERI MAKLUM BALAS