SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat syarikat dan konsortium sudah disenarai pendek dan diluluskan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai rakan pembangunan berpotensi dalam projek Bandar Malaysia seluas 196 hektar.

Penasihat Transaksi untuk Permohonan Cadangan bagi Bandar Malaysia (RFP), CH Williams Talhar and Wong (WTW), empat pembida berkenaan disenaraikan pendek daripada 12 cadangan yang dihantar pada tarikh tutup RFP 28 Ogos lalu.  Ia termasuk cadangan daripada pemaju swasta tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat asing yang menghantar cadangan secara persendirian atau sebagai konsortium.

Semua cadangan dikaji dan dinilai oleh WTW, sebelum senarai pendek dibentangkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk diluluskan.  Empat pembida terakhir itu akan melalui satu proses penilaian wajar, penerangan serta rundingan terperinci bersama  1MDB Real Estate dan WTW sebelum cadangan akhir dibuat kepada Lembaga Pengarah 1MDB.  Timbalan Pengarah Urusan WTW, Danny Yeo, berkata pihaknya sedang berusaha untuk memuktamadkan rakan pembangunan Bandar Malaysia menjelang akhir bulan depan.   “Kami kemudiannya menyasar untuk melaksanakan perjanjian guaman muktamad pada akhir November ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Pengkomersialan Bandar Malaysia adalah sebahagian pelan rasionalisasi 1MDB seperti yang dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei lalu.  1MDB berpuas hati dengan bidaan berkualiti tinggi yang diterima dan minat ketara yang ditunjukkan terhadap Bandar Malaysia.   Keputusan akhir proses membuat keputusan antara lain akan dipandu oleh perkara seperti memaksimumkan nilai kepada pemegang saham 1MDB, kepastian urus niaga serta terma yang adil dan munasabah.

Bandar Malaysia akan menjadi pembangunan bandar penggunaan bercampur yang dijangka berfungsi sebagai pemangkin transformasi Greater Kuala Lumpur.   Terletak strategik tujuh kilometer dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pembangunan Bandar Malaysia akan bertindak sebagai pintu gerbang bagi aliran rel berkelajuan tinggi ke Singapura serta menjadi hab pengangkutan di dalam bandar raya melalui aliran MRT 2 dan 3, KTM Komuter, ERL serta akses ke rangkaian lebuh raya utama pada masa akan datang.

Sumber: Berita Harian

Comment

BERI MAKLUM BALAS